SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil Sabah.Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, kerajaan Persekutuan akan memulakan proses rundingan bersama kerajaan negeri Sabah dengan segera.Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri hari ini bagi membincangkan berkenaan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terkait Pemberian Khas Negeri Sabah yang diputuskan dalam Permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap kerajaan Malaysia."Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan"Oleh itu, kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil," menurut kenyataan itu.AGC turut memaklumkan pada mesyuarat sama, Peguam Negara memberikan nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman berkenaan.Antaranya dakwaan bahawa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan."Dakwaan ini bakal membabitkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah sejak tahun 1974."Selain itu, alasan penghakiman juga menyatakan bahawa Kajian Semula selepas 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur dan tidak berkadaran."Kerajaan Persekutuan akan merayu berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman berkenaan," menurut kenyataan itu lagi.