PRN Sabah: Calon DUN Sindumin lengkapkan senarai 41 calon PN

KOTA KINABALU – Perikatan Nasional (PN) Sabah menamakan Dg Nor Syafiqah Abdul Hamid sebagai calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee yang memaklumkan bahawa pencalonan tersebut melengkapkan senarai 41 calon PN yang akan bertanding dalam PRN kali ini."Dengan pengumuman ini, lengkaplah senarai calon PN yang akan bertanding di bawah panji dan logo parti, membawa aspirasi ‘Kasi Bagus Sabah’," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Menurut Ronald, kesemua calon yang diketengahkan oleh PN mempunyai tekad dan keupayaan untuk menyempurnakan amanah sebagai wakil rakyat sekiranya diberikan mandat oleh rakyat di kawasan masing-masing.Terdahulu, Pengerusi PN Pusat, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan bahawa seramai 41 calon akan bertanding pada PRN kali ini.Bagaimanapun, semasa majlis pengumuman calon yang diadakan di Penampang, hanya 40 calon yang disenaraikan, sebelum calon bagi DUN Sindumin diumumkan kemudian.