Keputusan tidak rayu isu 40 peratus Sabah diterima positif - Abdul Rahman Dahlan

SHAH ALAM - Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung isu 40 peratus hasil Sabah disambut baik dan memberi kelegaan kepada rakyat negeri itu.Menurut Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan, sudah tiba masanya untuk menoktahkan perdebatan lebih enam dekad mengenai isu tersebut.Tegasnya, isu 40 peratus selama ini telah memecah-belahkan negara dan menimbulkan sentimen negatif terhadap Kerajaan Persekutuan."Perkara ini mesti dihentikan. Ia tidak baik untuk negara dan pastinya tidak baik untuk perpaduan rakyat," ujarnya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.Jelasnya, langkah pertama adalah mengiktiraf bahawa isu 40 peratus ini adalah sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan."Dari situ, kerajaan perlu menumpukan kepada empat langkah penting bagi melaksanakan perkara ini secara berkesan," ujarnya.Abdul Rahman menyenaraikan langkah-langkah itu, iaitu menentukan parameter bagi maksud sebenar 40 peratus, menetapkan kuantum sebenar yang terlibat, memilih mekanisme pembayaran yang sesuai, serta menetapkan garis masa pelaksanaan termasuk bayaran tunggakan terdahulu."Seperti kata pepatah, masalah terletak pada perinciannya dan cabaran sebenar adalah pelaksanaan yang teliti dan adil," ujarnya.Tambahnya, UMNO Sabah dan Barisan Nasional Sabah komited untuk menamatkan polemik berdekad-dekad ini sekali dan untuk selama-lamanya."Kerajaan Persekutuan perlu melihat peluang ini sebagai langkah menutup satu bab lama yang menjejaskan perpaduan nasional," ujarnya.Tegasnya, Sabah dan Sarawak yang makmur bukan ancaman kepada Persekutuan, sebaliknya merupakan satu kelebihan."Dengan izin Tuhan, kedua-dua negeri ini akan menjadi pemangkin ekonomi baharu Malaysia, menggerakkan negara ke arah pertumbuhan lebih tinggi dan peluang baharu, serta membawa pembangunan adil untuk semua rakyat."Penyelesaian aman dan rasional terhadap isu 40 peratus ini akan menghasilkan situasi menang-menang untuk semua pihak. Ini bukan permainan sifar, kali ini, semua pihak menang," katanya.