PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski berkata, anak buahnya tidak terjejas dengan perubahan dalam kem kebangsaan Nepal menjelang aksi Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan.Nepal kini dibimbing jurulatih baharu, Hari Khadka selepas bekas pengendali mereka, Matt Ross meletakkan jawatan pada bulan lalu.Perubahan tersebut sekali gus menjadikan kekuatan serta corak permainan pasukan yang menghuni ranking ke-180 dunia itu agak sukar untuk dijangka.Bagaimanapun, Cklamovski menegaskan fokus utama pasukannya bukan terhadap perubahan lawan, sebaliknya memastikan setiap pemain Harimau Malaya berada pada tahap persediaan terbaik untuk menghadapi sebarang kemungkinan."Nepal baru sahaja mengumumkan pelantikan pengendali baharu beberapa minggu lalu. Jadi, kami belum mengetahui secara tepat pendekatan yang akan mereka gunakan dari segi struktur atau corak permainan mereka."Namun, kami perlu bersiap sedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan. Itulah tujuan utama blok latihan dan model kem latihan yang telah kami rancang iaitu bagi memastikan pasukan bersedia sepenuhnya untuk sebarang situasi."Kami akan bersedia menghadapi apa sahaja pada malam Selasa nanti untuk mempamerkan aksi terbaik tahun ini dan menutup tirai 2025 dengan persembahan yang baik serta menggembirakan penyokong," katanya.Menurut jurulatih kelahiran Australia itu, fokus utama ketika ini adalah memanfaatkan sepenuhnya tempoh lapan hingga sembilan hari persiapan bagi memastikan pemain berada di tahap terbaik menjelang perlawanan penting tersebut.Dalam pada itu, Cklamovski turut menjelaskan sebab ketiadaan dua tonggak utama Johor Darul Ta’zim (JDT), Romel Morales dan Afiq Fazail dalam kem latihan kali ini."Romel mengalami sedikit kecederaan yang menjejaskan persiapannya buat sementara waktu."Manakala Afiq atas sebab keluarga. Dia perlu bersama keluarganya ketika ini dan tidak dapat menyertai kem latihan kali ini," jelasnya.Setakat ini, Harimau Malaya berada di kedudukan teratas Kumpulan F selepas mencatat kemenangan dalam keempat-empat aksi terdahulu