TONGGAK pertahanan Burnley, Axel Tuanzebe dilaporkan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas kelabnya, Manchester United dengan menuntut ganti rugi berjumlah £1 juta (RM5.44 juta) atas dakwaan kecuaian yang menjejaskan kariernya.Pemain berusia 27 tahun itu mendakwa pihak United gagal memberikan rawatan perubatan yang sewajarnya terhadap kecederaan yang dialaminya ketika bersama kelab tersebut sehingga menyebabkan masalah jangka panjang yang masih menjejaskan prestasinya hingga kini.Tuanzebe merupakan produk akademi United dan membuat 37 penampilan bersama skuad utama sebelum meninggalkan kelab itu pada penghujung musim 2022/23 selepas kontraknya tamat. Selepas dua tahun bersama Ipswich Town, dia menyertai Burnley pada musim panas lalu.Menurut laporan Sky News, saman berkenaan telah difailkan di Mahkamah Tinggi London dan Tuanzebe menuntut pampasan melebihi £1 juta atas dakwaan kecuaian klinikal oleh pihak perubatan United.Kes tersebut berkisar kepada kecederaan retakan tekanan pada bahagian tulang belakang yang pertama kali dikesan pada Januari 2020 dan didakwa menjadi kronik menjelang Julai 2022.Dalam tuntutannya, Tuanzebe mendakwa kelab itu gagal memberikan rawatan tepat pada waktunya serta tidak merujuknya kepada pakar tulang belakang sukan.Akibatnya, kecederaan tersebut menjadi semakin teruk sehingga menjejaskan kemampuannya bermain.Tuanzebe turut mendakwa beliau mengalami kesakitan berterusan sejak Julai 2022 dan menegaskan pihak kelab gagal mengambil langkah sewajarnya sejak kecederaan pertama dikesan pada tahun 2020.Sepanjang 17 tahun bersama United, Tuanzebe menyertai akademi kelab itu sejak berusia lapan tahun dan pernah mewakili skuad bawah 21 tahun England sebelum memilih untuk mewakili negara kelahirannya, Republik Demokratik Congo.Musim ini, pemain itu telah membuat tujuh penampilan dalam aksi Liga Perdana Inggeris dan Piala Liga bersama Burnley.Selepas pulih daripada kecederaan yang menyebabkan beliau terlepas perlawanan menentang bekas kelabnya Ogos lalu, Tuanzebe kini menjadi pilihan utama pengendali Burnley, Scott Parker dalam lima perlawanan liga terakhir.