Belanjawan Pahang 2026 realistik untuk rakyat – Wan Rosdy

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Pahang akan membentangkan Belanjawan 2026 pada Disember depan disifatkan realistik dan berpaksikan rakyat sejajar dengan kemampuan kewangan semasa negeri.Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, belanjawan adalah sesuatu yang dinantikan rakyat dan perlu dilaksanakan secara serius kerana melibatkan kepentingan lebih 1.67 juta penduduk negeri."Bajet ini kita tidak harus buat sambil lewa dan kena serius. Sejak kebelakangan ini, kita mengadakan retreat belanjawan yang menghimpunkan ketua-ketua jabatan serta kepimpinan masyarakat untuk duduk berbincang selama tiga atau empat hari apa yang perlu dikembalikan kepada rakyat."Hasil negeri RM1 bilion dan kita ada lebihan RM600 juta untuk kita kembalikan kepada rakyat," katanya.Beliau berkata demikian ketika sesi Program Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian di Dewan Datuk Seri Abdul Manan Ismail pada Selasa.Wan Rosdy memberitahu, selain sesi libat urus bersama jabatan kerajaan, kerajaan negeri turut membuka ruang kepada rakyat untuk menyampaikan pandangan dan cadangan melalui e-mel khas menerusi portal e-survey.pahang.gov.my yang diwujudkan.Jelasnya, semua pandangan yang dikemukakan akan diteliti oleh pasukan kerajaan negeri sebelum dibawa kepada beliau untuk dibincangkan."Kita juga turun padang mendengar permintaan rakyat kerana kita tahu permintaan rakyat itu begitu tinggi seperti mana yang kita adakan dalam Town Hall hari ini"Kita buka ruang untuk mendengar pandangan rakyat, apakah bajet yang harus kita bentangkan dan apa yang mereka kehendaki," ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu.Wan Rosdy turut menegaskan, meskipun permintaan rakyat tinggi, namun ia tetap tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan negeri."Saya suka mengingatkan bahawa apa pun permintaan rakyat, semuanya masih tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan negeri."Kita tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang..apa yang kita buat biarlah realistik dan mengikut kemampuan kewangan serta bajet yang akan kita dapat nanti," katanya.Wan Rosdy memaklumkan, belanjawan kali ini meliputi pelbagai aspek termasuk ekonomi, sosial, pelancongan, kebajikan, pendidikan dan belia bagi memastikan semua lapisan masyarakat menerima manfaat.Beliau menambah, kerajaan negeri sentiasa berusaha menyantuni keperluan rakyat, namun kaedah pemberian bantuan itu dikaji agar sesuai dengan kemampuan semasa.Sebagai contoh, katanya, kerajaan memberikan bantuan RM300 kepada pasangan yang berkahwin kali pertama dan turut menyalurkan peruntukan RM1 juta bagi program berkhatan memandangkan kosnya kini semakin meningkat."Kalau 30 tahun dulu semasa anak saya bersunat, kosnya sekitar RM50, tetapi sekarang boleh mencecah lebih RM100."Kalau ada dua atau tiga anak, jumlahnya boleh jadi RM300.. nasib baiklah kita berkhatan sekali saja, kahwin pun kali pertama pun sekali."Tetapi Insya-ALLAH, kalau bajet kita lebih, apa salahnya kita kembangkan lagi, tertakluk kepada persetujuan," katanya berseloroh.