Klinik pickleball anjuran KBS di Kampung Angkat MADANI mendapat sambutan ramai

HULU LANGAT - Klinik Pickleball Serve and Smash anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi program Kampung Angkat MADANI (KAM) 2025 di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua mencuri tumpuan apabila menerima penyertaan luar biasa.Penyelaras program, Sazali Abdul Samad berkata, pada awalnya penganjur hanya menyasarkan 50 peserta, namun sambutan amat menggalakkan apabila semua peralatan permainan habis digunakan.Katanya, sambutan itu turut disertai pelajar IKTBN dan penduduk Kampung Sungai Lui serta kawasan sekitar yang hadir memeriahkan program berkenaan."Sambutan ini membuktikan sukan pickleball semakin diterima masyarakat termasuk di luar bandar dan berpotensi menjadi sukan rakyat," katanya ketika ditemui Sinar Harian.Menurutnya, objektif utama program itu ialah memperkenalkan sukan pickleball kepada semua lapisan masyarakat."Ia bukan sukan elit tetapi aktiviti riadah sosial yang boleh bermain seisi keluarga," katanya.Sazali berkata, hampir semua sembilan daerah di Selangor kini sudah mempunyai kemudahan gelanggang pickleball hasil inisiatif menukar gelanggang tenis lama kepada kemudahan baharu itu."Bukan sahaja pihak swasta, malah majlis perbandaran juga sudah mula membuka gelanggang pickleball," katanya.Sementara itu, peserta berusia 13 tahun, Muhammad Aidil Sabli, berkata, dia teruja selepas pertama kali mencuba sukan berkenaan."Mula-mula susah nak ambil bola, tapi lama-lama jadi senang dan seronok sebab tak penat, boleh main secara beregu," katanya.Peserta lain, Fitrah Nur Syifa Abdullah, 9, berkata, pada mulanya dia kekok, namun semakin seronok selepas berjaya memukul bola dengan betul."Jurulatih menegur saya sebab tidak fokus, tetapi saya cuba sampai jadi dan sekarang dah boleh main lebih baik," katanya.Selain klinik pickleball, Program KAM turut dimeriahkan dengan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh IKTBN Dusun Tua yang berjaya menyelenggara van jenazah, sistem penghawa dingin dan elektrik di Masjid Ar Rahman Sungai Lui.Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu 20 Sungai Lui, Mohd Ramdan Kamso, berkata, pihaknya berterima kasih kepada IKTBN Dusun Tua atas usaha membantu penduduk setempat."Sekarang masjid dah kembali sejuk, jemaah pun selesa, memang nampak perbezaan besar selepas kerja selenggara oleh pelajar dan tenaga pengajar IKTBN," katanya.Beliau berkata, inisiatif itu mem buktikan pelaksanaan program KAM oleh KBS benar-benar memberi impak di peringkat akar umbi.