IPOH - Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad (KAKIB) berhasrat memperluas kan bidang operasi dengan meneroka sektor pertanian dan sekuriti makanan bagi memastikan kelangsungan serta daya saingnya terus terjamin selepas ditubuhkan lebih satu abad.Pengerusinya, Mohd Hasrizad Zaman berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha koperasi untuk mempelbagaikan sumber pendapatan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap aktiviti kredit dan pembiayaan yang menjadi tunjang utama operasi KAKIB selama ini.Menurutnya, sektor pertanian dan sekuriti makanan kini dilihat sebagai bidang strategik yang mampu memberi impak besar kepada ekonomi negeri serta memberi manfaat langsung kepada anggota koperasi dan masyarakat setempat."Kita sedang melihat peluang dalam bidang pertanian atau perladangan. Koperasi mempunyai potensi besar untuk membantu kerajaan negeri memperkukuhkan rantaian bekalan makanan."Sekiranya diberikan peluang, kami bersedia berbincang serta menyertai inisiatif pertanian berimpak tinggi yang sedang dirancang," katanya kepada Sinar Harian.Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 27 Julai 1923, KAKIB memainkan peranan penting dalam memperkasakan kesejahteraan ekonomi penjawat awam negeri dan persekutuan di Perak melalui kemudahan pembiayaan, pinjaman berpatutan dan perkhidmatan ar-rahnu.Katanya, sehingga kini, KAKIB mempunyai 6,480 anggota dengan jumlah syer dan yuran sebanyak RM81.9 juta, manakala jumlah aset koperasi mencecah RM123.3 juta serta pendapatan kumpulan RM10.9 juta."Alhamdulillah, prestasi kita semakin baik dari tahun ke tahun. KAKIB kini berada di tempat kedua koperasi terbaik di Perak dan menduduki tangga ke-29 dalam Indeks Koperasi Terbaik Malaysia, peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya di tangga ke-53."Pencapaian ini hasil komitmen berterusan lembaga pengarah dan pengurusan dalam memastikan tadbir urus KAKIB kekal telus, berintegriti dan menepati segala peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)," katanya.Mohd Hasrizad berkata, bagi memastikan koperasi terus kekal relevan dalam persekitaran ekonomi semasa, pihaknya komited menyesuaikan diri dengan perubahan dan cabaran baharu termasuk dalam aspek digitalisasi, pemantapan pengurusan kewangan dan peluasan jaringan perniagaan.Beliau berpandangan, Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad membuka banyak ruang kepada koperasi seperti KAKIB untuk melibatkan diri secara aktif dalam agenda pembangunan negeri."Koperasi mampu menjadi rakan strategik kepada kerajaan negeri dalam menjayakan pelan ini khususnya melalui sektor pertanian moden, perusahaan makanan dan aktiviti ekonomi komuniti," katanya.Dalam masa sama, beliau mengakui kejayaan sesebuah koperasi tidak hanya bergantung kepada kekuatan modal dan aset semata-mata, tetapi juga kepada kepercayaan, sokongan dan kesetiaan anggota terhadap koperasi.Sepanjang tempoh beroperasi, KAKIB pernah merangkul beberapa kejayaan antaranya menjadi pemenang Anugerah Kualiti Perdana Menteri Sektor Sosio-Ekonomi pada tahun 1997.Terbaharu, KAKIB memenangi tempat kedua bagi Anugerah Koperasi Terbaik Negeri Perak 2025 sempena Coop Fest dan Jelajah Usahawan Negeri Perak 2025 di Arena Square Batu Gajah pada 11 Oktober lalu.