KUALA TERENGGANU - UMNO Terengganu menyifatkan Belanjawan Negeri Terengganu 2026 sebagai belanjawan yang penuh potensi di atas kertas, namun masih gagal menjawab realiti kehidupan rakyat di peringkat akar umbi.UMNO Terengganu dalam kenyataan pada Rabu berkata, walaupun tema 'Memacu Potensi, Melonjak Prestasi' menggambarkan keyakinan kerajaan negeri terhadap hala tuju ekonomi, hakikatnya kesejahteraan rakyat belum benar-benar dirasai.Menurut kenyataan itu, unjuran belanjawan berjumlah RM1.998 bilion dengan perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.938 bilion dan lebihan RM59.94 juta menunjukkan disiplin fiskal yang baik, namun belum menggambarkan kesan langsung kepada rakyat."Belanjawan ini kelihatan indah di atas kertas, tetapi belum tentu 'mendarat' di dapur rakyat. Dalam keadaan negeri lain seperti Pahang sudah empat tahun berturut-turut melepasi hasil RM1 bilion, Terengganu masih terperangkap dalam nostalgia pencapaian era kerajaan BN dahulu," kata kenyataan itu.UMNO Terengganu turut mempersoalkan beberapa perkara yang dianggap terpinggir dalam belanjawan kali ini, termasuk ketiadaan Tabung Pesakit Kronik TDI, Dana Aidilfitri dan bonus penjawat awam, selain persoalan mengenai peluang pekerjaan sebenar untuk anak muda."Rakyat tidak menilai angka di Dewan Undangan Negeri, tetapi mereka menilai kesejahteraan di pasar, di sawah, di jeti dan di dapur mereka sendiri," tambah kenyataan itu.Pada masa sama, UMNO turut menegur kebergantungan tinggi terhadap Dana Khas Petroleum yang merangkumi lebih 85 peratus hasil negeri dan terimaan bukan hasil berjumlah RM1.709 bilion berbanding hasil cukai dan bukan cukai yang hanya RM288.6 juta."Selagi Terengganu terlalu bergantung kepada hasil minyak, selagi itu ekonomi negeri ini rapuh dan mudah terdedah kepada ketidaktentuan pasaran," ujar kenyataan itu.Dalam pada itu, UMNO menyifatkan komitmen kerajaan negeri terhadap keterjaminan makanan (food security) masih bersifat retorik apabila hanya RM3.9 juta diperuntukkan untuk infrastruktur pertanian, RM2 juta bagi tanaman padi dan RM1.2 juta untuk projek khas pertanian.Jelas kenyataan itu, jumlah tersebut disifatkan terlalu kecil berbanding keseluruhan perbelanjaan pembangunan.Selain itu, UMNO kerajaan negeri juga dicadangkan supaya menyemak semula perbelanjaan lantikan politik dan menyalurkan sebahagian dana tersebut kepada bantuan kesihatan, insentif penjawat awam serta program kebajikan rakyat seperti Dana Raya Aidilfitri."Penubuhan beberapa jabatan baharu seperti Urus Setia Wanita Terengganu (USWA) dan Akademi Dodik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) yang disifatkan bertindih fungsi akan menambah kos pentadbiran negeri."Kita berpandangan, hanya dengan penjimatan 2 peratus daripada emolumen dan perbelanjaan lantikan politik, dana tersebut boleh dialihkan kepada bantuan kesihatan rakyat, insentif kecil penjawat awam, program kebersihan negeri, malah Dana Raya Aidilfitri," kata kenyataan itu.Dalam pada itu, tambah kenyataan itu, Belanjawan Terengganu 2026 bukanlah belanjawan yang gagal, namun ia perlu lebih berani menjawab persoalan asas iaitu sejauh mana rakyat benar-benar menerima manfaat daripada angka-angka besar yang diumumkan."Rakyat tidak menuntut kemewahan, mereka hanya mahu potensi negeri diterjemah menjadi peluang, pendapatan dan kesejahteraan hidup."Sekadar menyeimbangkan angka tanpa menyentuh kesejahteraan rakyat adalah belanjawan tanpa jiwa," kata kenyataan itu.