Jualan diesel bulanan menurun lebih 300 juta liter, bukti berjaya kurangkan ketirisan

KUALA LUMPUR - Jualan diesel berkurangan daripada 770 juta liter kepada 465 juta liter sebulan selepas penyasaran semula subsidi bahan api itu dilaksanakan bermula 10 Jun tahun lalu.Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, jumlah itu mengambil kira tempoh lima bulan sebelum dan selepas pelaksanaan dalam tahun sama."Pengurangan jualan diesel bersubsidi menunjukkan pengurangan ketirisan subsidi diesel. Dijangka sebahagian daripada pengurangan tersebut disebabkan kegiatan penyeludupan berkurangan."Pada masa sama jualan diesel secara komersial meningkat selepas penyasaran subsidi."Ini bermakna sebelum ini terdapat kegiatan pembelian diesel bersubsidi daripada stesen minyak yang mungkin digunakan untuk kegunaan komersial tempatan iaitu bagi kegunaan mesin dan generator elektrik di tapak pembinaan atau kilang," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai jumlah penurunan jualan diesel selepas pelaksanaan penyasaran semula bahan api berkenaan.Sementara itu, menjawab soalan asal Chieng berhubung penjimatan yang dicapai oleh kerajaan susulan daripada rasionalisasi subsidi diesel yang dilaksanakan tahun lalu itu, Hui Ying memaklumkan, lebih RM400 juta sebulan atau sekitar RM5 bilion setahun berjaya diperoleh.Menurutnya, melalui penjimatan tersebut, ia secara tidak langsung membolehkan kerajaan menyalurkan semula peruntukan untuk membiayai projek projek pembangunan serta mengikjuhkan jaringan sosial rakyat melalui bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR)."Di bawah kerangka ekonomi Madani, pelaksanaan subsidi bersasar untuk bahan api telah menunjukkan keberkesanan dalam mengurangkan ketirisan, mengoptimumkan perbelanjaan fiskal dan pada masa sama memastikan golongan layak terus menerima manfaat," katanya.