SEREMBAN - Pembantu pembangunan masyarakat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas empat pertuduhan gagal melaporkan rasuah berjumlah lebih RM5,000 berkaitan Program Pusat Literasi Keluarga pada tahun 2018 dan 2019.Tertuduh, Nurul Syafinaz Yusof, 41 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim N Kanageswari selepas kertas pertuduhan dibacakan.Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Pembantu Pembangunan Masyarakat di Felda Tenggaroh Timur 1 telah diberikan suapan oleh seorang wanita berusia 46 tahun berjumlah keseluruhan RM5,150 berkaitan Program Pusat Literasi Keluarga yang sebenarnya tidak pernah djalankan.Tertuduh juga didakwa gagal melaporkan pemberian tersebut kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).Kesalahan itu dilakukan antara 20 Ogos 2018 hingga 4 Jun 2029 di sebuah bank di Bahau, Jempol.Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) Akta yang sama.Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Rais Adha Ramli mencadangkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport.Peguam, Johan Radzi dalam rayuannya berkata, anak guamnya yang telah berkahwin mempunyai empat anak berusia antara dua hingga 11 tahun serta mempunyai pendapatan RM2,300 sebulan.Beliau memohon jaminan rendah selain turut memaklumkan tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah dan kali pertama dihadapkan ke mahkamah.Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 dengan syarat tambahan.Sebutan semula kes 12 Disember ini.