PN yakin bentuk kerajaan di Sabah - Mohd Amar

KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) yakin mampu membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah berdasarkan perkembangan semasa dan kesedaran rakyat di negeri itu.Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, PN melihat suasana politik di Sabah kini memberi ruang besar kepada gabungan itu untuk menjadi kerajaan negeri."PN ada potensi untuk jadi kerajaan. Sebab itu kita bertanding di 40 kerusi kali ini. Sasaran kita jelas, kita mahu jadi kerajaan," katanya semasa sidang akhbar selepas Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa dalam suasana politik Sabah ketika ini, tiada parti yang mampu membentuk kerajaan secara sendirian."Kalau menang sendirian itu lebih baik, tapi saya fikir agak sukar. Dalam keadaan sekarang, mana-mana parti yang menang tetap perlu membentuk ker ajaan campuran," ujarnya.Tambah beliau, perbincangan dan strategi tertentu juga dijangka akan dilakukan bagi memastikan pembentukan kerajaan negeri dapat direalisasikan selepas PRN nanti.Sinar Harian pada Selasa melaporkan, PN Sabah menamakan Dg Nor Syafiqah Abdul Hamid sebagai calon parti itu bagi kerusi DUN Sindumin pada PRN17.Terdahulu, Pengerusi PN Pusat, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan bahawa seramai 41 calon akan bertanding pada PRN kali ini.Bagaimanapun, semasa majlis pengumuman calon yang diadakan di Penampang, hanya 40 calon yang disenaraikan, sebelum calon bagi DUN Sindumin diumumkan kemudian.