IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria kekal memegang jawatan sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang notis atau cadangan baharu daripada mana-mana pihak berhubung pertukaran Ketua Pembangkang."Saya telah dimaklumkan beliau kekal sebagai Ketua Pembangkang dalam Dewan Negeri."Setakat ini, tiada cadangan lain atau notis baharu diterima mengenai pertukaran Ketua Pembangkang di DUN Perak," katanya dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negeri, Jenny Choy dan Setiausaha Dewan Negeri, Mohd Ikram Ahmad.September lalu, Pas mengumumkan pelantikan Naib Presidennya yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad sebagai Pesuruhjaya Perak menggantikan Razman yang dilantik ke jawatankuasa kerja pusat sebagai ahli.Persidangan DUN Perak dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula 25 November hingga 2 Disember antara lain membentangkan Belanjawan Negeri 2026.Mohammad Zahir menjelaskan, Razman dibenarkan menghadiri persidangan kali ini setelah selesai tempoh penggantungannya, Oktober lalu.Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua Ahli Dewan agar menjadikan episod penggantungan itu sebagai pengajaran dan sempadan untuk terus menjaga adab serta tertib semasa persidangan dijalankan.Katanya, tujuan persidangan adalah jelas untuk membahas dasar kerajaan, meluluskan undang-undang dan menjalankan urusan mengikut peraturan serta Perintah Tetap sedia ada."Kita tidak mahu mencipta kontroversi. Walaupun kita mempunyai imuniti dalam Dewan, tetapi tidak menghalang daripada tindakan diambil sekiranya seseorang ADUN terbabas atau melanggar tertib Dewan," katanya.Pada April lalu, DUN Perak meluluskan usul untuk menggantung Razman daripada menghadiri persidangan selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta selepas dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN pada 4 Disember 2024.End