SEMPENA sambutan Hari Natal tahun ini, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menampilkan sebuah filem pendek bertemakan kemanusiaan dan perpaduan bertajuk 'Memberi Lebih Baik Daripada Menerima'.Menurut satu kenyataan, filem ini menggabungkan elemen komedi, persahabatan dan mesej kasih sayang sejagat, menampilkan sekumpulan anak muda yang berinisiatif membantu mereka yang memerlukan pada musim perayaan.Lebih menarik, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang turut membuat penampilan istimewa (cameo) dalam filem pendek ini, menjadikan produksi tahun ini unik dan penuh makna."Kehadiran beliau bukan sahaja memperkukuh mesej utama tentang semangat memberi, tetapi juga menyerlahkan komitmen kerajaan dalam memperkasakan nilai perpaduan, empati dan kebersamaan di kalangan rakyat Malaysia," kata kenyataan itu.Filem pendek berdurasi kira-kira 5 minit itu berkisar tentang sekumpulan sahabat yang merancang untuk pulang menyambut Hari Natal bersama keluarga.Namun, salah seorang daripada mereka, Damian (lakonan Furguschrislou Ortega, anggota Pasukan Grup Gerak Khas, Angkatan Tentera Malaysia), tersalah membuat tempahan dan menyebabkan mereka semua tidak dapat pulang ke Sabah dan Sarawak untuk menyambut perayaan Natal.Walaupun kecewa, Hugo (lakonan Roger Hugo Amandus) mencadangkan agar mereka memanfaatkan masa yang ada dengan memberi kegembiraan kepada golongan memerlukan di kawasan kejiranan mereka yang mempunyai rumah anak-anak yatim.Kemuncak cerita menyaksikan rakan-rakan Damian menyiarkan inisiatif mereka di media sosial, yang akhirnya mendapat perhatian masyarakat luas dan turut dikongsi semula oleh Aaron, menzahirkan penghargaan atas semangat dan keikhlasan mereka.Selain Furguschrislou Ortega, filem pendek ini turut menampilkan Roger Hugo Amandus, bekas Mister International Malaysia 2022, dan Dunstun Luther Junior, seorang pramugara serta pelakon sambilan yang mula menempa nama dalam dunia seni tanah air.Lebih istimewa, filem ini juga memperkenalkan penampilan sulung Gabriel Chunghe, yang memegang watak Aryan, seorang sahabat yang pada awalnya tidak memahami maksud sebenar memberi, namun akhirnya tersentuh apabila melihat impak kecil yang mampu mengubah kehidupan orang lain.Kepelbagaian latar belakang pelakon, daripada anggota tentera, pramugara, hingga pelakon baharu bukan sekadar pilihan kreatif, tetapi cerminan kepelbagaian rakyat Malaysia yang hidup dalam suasana harmoni.Menurut Aaron, ia selari dengan aspirasi KPN untuk menjadikan filem pendek ini sebagai medium perpaduan merentasi sempadan agama, budaya dan etnik.Beliau berkata, inisiatif seperti ini merupakan sebahagian daripada strategi untuk menggunakan pendekatan kreatif dan digital dalam menyampaikan mesej perpaduan."Perpaduan tidak semestinya dilaungkan melalui slogan, tetapi boleh diterjemahkan melalui tindakan kecil yang tulus. Filem ini menggambarkan semangat memberi, tolong-menolong dan rasa empati yang menjadi tunjang kepada masyarakat Malaysia yang bersatu."Dalam semangat Malaysia Madani, kita mahu menonjolkan bahawa kebaikan boleh bermula dari hal-hal kecil – senyuman, bantuan, atau masa yang dikongsikan bersama orang lain," jelas beliau.Beliau berkata, pendekatan menerusi medium filem pendek membolehkan mesej sampai secara lebih lembut, inklusif dan menyentuh hati, terutama dalam kalangan golongan muda yang aktif di media sosial.Filem pendek ini dijadualkan untuk tayangan perdana pada minggu kedua Disember tahun ini di platform media sosial rasmi Aaron, Kementerian Perpaduan Negara, serta Radio Televisyen Malaysia (RTM).Inisiatif ini dijangka dapat mencapai jutaan tontonan, khususnya di kalangan generasi muda yang merupakan pengguna aktif media sosial.Dengan penyebaran digital yang luas, mesej yang dibawakan filem ini diharap dapat menyemarakkan semangat memberi dan memperkukuh keharmonian sosial di seluruh negara."Walaupun berlatarkan sambutan Hari Natal, filem ini disusun dengan penuh hati-hati dan inklusif, tanpa menyentuh sensitiviti mana-mana agama atau kepercayaan. Sebaliknya, fokus diberikan kepada nilai sejagat iaitu kasih sayang, keprihatinan, dan kebersamaan yang melampaui sempadan kepercayaan," kata kenyataan itu lagi.Pendekatan ini mencerminkan dasar KPN yang menekankan prinsip 'Faham, Hormat dan Terima' dalam membentuk masyarakat harmoni di bawah konsep Negara Bangsa Madani.Filem ini bukan sekadar hiburan perayaan, tetapi manifestasi kepada usaha berterusan kerajaan dalam mengukuhkan perpaduan nasional melalui seni dan budaya."Di sebalik elemen komedi dan gelak tawa, filem pendek ini membawa mesej yang sangat mendalam bahawa kebahagiaan sejati bukan pada apa yang kita terima, tetapi pada apa yang kita beri," kata kenyataan itu.Mesej ini bukan sahaja sesuai untuk sambutan Natal, tetapi juga relevan untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau kepercayaan.Filem pendek 'Memberi Lebih Baik Daripada Menerima' oleh Kementerian Perpaduan Negara bukan sekadar sebuah karya perayaan tetapi sebuah mesej kemanusiaan dan perpaduan yang merentasi sempadan budaya dan agama."Dengan sentuhan komedi yang menghiburkan, filem ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada semua rakyat Malaysia untuk terus menanam nilai kasih sayang, empati dan perpaduan dalam kehidupan seharian," kata kenyataan itu lagi.