KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menafikan dakwaan bahawa Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) beberapa kali menghentikan pembiayaan pinjaman pelajaran dan elaun sara hidup bulanan sehingga memberi tekanan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, hakikatnya tiada mana-mana pelajar yang sudah diluluskan pinjaman diberhentikan pembiayaan mereka."Dakwaan menyatakan PTPK telah beberapa kali menghentikan pembiayaan pinjaman pelajaran dan elaun sara hidup bulanan adalah tidak berasas sama sekali."PTPK telah mengeluarkan kenyataan media pada 11 September 2025 bagi menangkis tohmahan tersebut," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) yang meminta kementeriannya menyatakan alasan elaun sara hidup di bawah PTPK dihentikan sejak beberapa tahun lalu hingga memberikan tekanan kepada pelajar.Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, Kesuma sentiasa beriltizam untuk memastikan rakyat Malaysia termasuk golongan belia mendapat akses kepada latihan kemahiran yang relevan, inklusif dan selari dengan keperluan pasaran kerja semasa.Sehubungan itu katanya, PTPK dipertanggungjawabkan untuk melahirkan bakat baharu dan menarik minat golongan belia untuk menyertai aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pembiayaan latihan kemahiran."Sehingga Ogos 2025, PTPK telah meluluskan pinjaman dan mempunyai komitmen pembiayaan aktif berjumlah RM524 juta melibatkan 52,098 orang pelajar dan 306 pusat latihan."Daripada jumlah tersebut, semua pelajar yang telah diluluskan pinjaman masih terus menerima pembiayaan dan elaun sara hidup seperti biasa," ujarnya.Malah katanya, elaun sara hidup kini telah dinaikkan daripada RM400 kepada RM800 bagi setiap pelajar.