KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Legasi politik bekas Ketua Menteri Sabah yang kini Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, diteruskan apabila dua anaknya diumumkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Yamani Hafez Musa, diumumkan sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin, manakala adiknya, Hazem Mubarak Musa, diumum sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Sungai Manila.Hazem Mubarak, 43, berkata, walaupun beliau merupakan anak kepada Yang di-Pertua Negeri, kedudukannya itu tidak memberi sebarang kelebihan dalam perjuangan politik yang diceburinya."Saya sudah lama aktif dalam politik tetapi apabila saya dilantik sebagai Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) tiga tahun yang lalu, di situlah saya mula turun padang dan kami telah melakukan yang terbaik selama tiga tahun untuk mendekati rakyat serta mendengar masalah rakyat khususnya."TYT tidak boleh masuk campur dalam urusan politik ini, beliau bukan boleh berkempen. Jadi bagi saya ia tidak membawa apa-apa kelebihan, sebab untuk makluman TYT ini kena neutral malah tidak boleh mengundi pun. Sudah pasti (berdiri atas nama sendiri)," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman calon di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Rabu.Ditanya mengenai penglibatan ramai ahli keluarganya dalam arena politik, Hazem Mubarak mengakui perkara itu sudah menjadi kebiasaan dalam keluarganya, namun masing-masing mempunyai haluan dan perjuangan tersendiri."Sudah pasti dapat dilihat di parti-parti lain, ada juga yang bertanding. Seperti abang saya bertanding di Sindumin, pakcik saya yang juga bersama-sama di GRS di Bongawan. Saya harap mereka juga berjaya dalam pilihan raya kali ini," katanya.Menurutnya, dalam menentukan calon, yang paling penting bukanlah latar belakang atau kedudukan keluarga tetapi keupayaan seseorang calon untuk bekerja demi rakyat."Tidak kira siapa calon, yang penting calon itu dapat bekerja untuk rakyat, mendengar keluhan dan membela nasib mereka serta membawa pembaharuan ke arah kebaikan di kawasan masing-masing. Bagi saya, itu jauh lebih penting," katanya.Untuk rekod, Musa sebelum dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 merupakan Ketua Menteri Sabah selama lebih 20 tahun dan calon DUN Membakut, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, merupakan anak menantunya.Selain itu, calon GRS bagi DUN Liawan, Datuk Anuar Ayub, dan adiknya, Mohd Ishak, yang bertanding atas tiket Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), merupakan anak saudara kepada Tun Musa. Manakala calon GRS bagi DUN Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, pula merupakan biras kepada beliau.