PRN Sabah: 'Kamu mahu bertaruh?' - Pandikar

KOTA KINABALU - Bekas Speaker Dewan Rakyat yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia yakin beliau akan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).Keyakinannya itu adalah berdasarkan sokongan akar umbi serta pengalaman sebagai ahli politik yang membolehkannya Pintasan kekal milik Gabungan Rakyat Sabah (GRS)."Saya mesti pastikan kerusi ini saya menang... orang-orang yang ada di sana itu bukan pengundi di kawasan saya. Mereka semua datang dari tempat lain. Jadi, kenapa kamu kata mereka itu (tidak menyokong saya?)."Komen saya ialah, saya akan menang. You wanna bet with me? (Kamu mahu bertaruh dengan saya?) Ada sesiapa yang mahu bertaruh dengan saya bahawa saya akan menang?"Saya yakin, saya mesti pastikan kemenangan ini. Kalau kamu tidak yakin, kamu mahu bertaruh dengan saya? Ada sesiapa mahu bertaruh?," katanya ketika ditemui pemberita selepas diumumkan calon GRS, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Rabu.Beliau dalam pada itu turut mengimbas semula keputusan PRN Sabah pada 2020, berjaya memenangi lebih 2,000 undi dan hanya tewas tipis sebanyak 84 undi."Ketika itu, saya tersepit antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). Saya dapat undi 2,660, dan kalah 84 undi sahaja."Sekarang ini, saya calon daripada parti kerajaan," katanya.Sehubungan itu, pemilihannya sebagai calon bagi DUN Pintasan adalah satu proses yang dilihat telah dibuat secara teliti bagi memastikan kemenangan gabungan tersebut.Mengenai kemungkinan berlakunya sabotaj dalam kalangan pengundi pula, Pandikar berkata, perkara itu adalah lumrah dalam mana-mana pilihan raya."Dalam pilihan raya apa-apa pun, ada sabotaj. Itu terpulang kepada calon masing-masing. Dalam GRS pun ada saingan daripada parti lain. Tapi bagi saya, saya mesti pastikan saya menang," tegasnya.Untuk rekod, pada PRN16, Datuk Fairuz Renddan menang kerusi Pintasan dengan 2,744 undi, antaranya menewaskan Pandikar dan tiga calon lain.Sementara itu, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Tan Sri Anifah Aman turut diumumkan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor sebagai calon gabungan tersebut untuk bertanding di DUN Kimanis.