Gagal bayar hutang RM10,000, pendandan rambut dibogel, dipukul ah long

KUALA LUMPUR - Akibat gagal membayar pinjaman ah long kira-kira RM10,000, seorang pendandan rambut ditampar, dipukul dan dibogelkan sekumpulan tiga lelaki di tandas sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya pada Sabtu.Lelaki yang dikenali sebagai Danish, 34, berkata, dia dihubungi ejen syarikat pemberi pinjaman wang tanpa lesen."Ejen itu kemudian mengarahkan saya untuk datang berjumpa bagi membincangkan cara untuk menyelesaikan pinjaman wang yang dibuat pada awal September lalu," katanya dalam sidang akhbar di Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini pada Rabu.Danish berkata, dalam kejadian pada jam 11.30 petang, beg, dompet serta telefon bimbit jenis Vivo turut dirampas tiga lelaki yang didakwa bersenjatakan pisau."Saya kemudian dibawa ke tandas berhampiran sebuah restoran makanan segera sebelum dipukul oleh suspek terbabit dan diarahkan membuka pakaian.Dalam keadaan tidak berpakaian, tiga lelaki terbabit merakam video dan mengambil gambar," katanya.Lelaki itu berkata, ah long itu kemudian bertindak berkongsikan video dan gambarnya dalam keadaan bogel itu kepada semua senarai kenalan dalam telefon bimbit termasuk kumpulan aplikasi WhatsApp."Kesan daripada tindakan suspek itu, saya menerima keaiban yang melampau dalam kalangan rakan tempat kerja, ahli keluarga dan saudara-mara," katanya.Danish berkata, dia hanya membuat pinjaman wang sebanyak RM1,000 namun sebaliknya hanya menerima RM500 selepas ah long memaklumkan bahawa RM500 lagi telah dipotong dan dikira sebagai caj servis."Hutang itu kemudian meningkat sebanyak RM300 sehari sekiranya RM1,000 yang dipinjam gagal dilunaskan dalam tempoh ditetapkan dan faedah baru sebanyak RM450 sejam akan dikenakan sekiranya caj lewat tiga hari turut gagal dijelaskan sehinggalah hutang saya sudah menjadi nilai keseluruhan RM10,000."Saya membuat pinjaman wang daripada ah long ini atas faktor kecemasan yang dihadapi pada masa itu dan kini saya menyesal atas langkah yang saya buat," katanya.Katanya, dua laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya."Saya berharap supaya pihak polis dapat bertindak mengikut peruntukan undang-undang dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap suspek kerana khuatir ah long akan melakukan tindakan yang lebih berbahaya di kemudian hari," ujarnya.Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya meminta agar Polis Diraja Malaysia (PDRM), terutamanya Jabatan Siasatan Jenayah menjalankan siasatan yang teliti dan menyeluruh terhadap semua individu yang terlibat."Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera bagi memastikan pelaku tidak terlepas daripada hukuman," katanya.Hishamuddin berkata, MHO menyeru masyarakat supaya tidak menularkan atau berkongsi semula rakaman yang mengandungi imej atau video mangsa."Tindakan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga menambah penderitaan dan trauma yang dialami oleh mangsa."MHO akan memantau perkembangan kes ini serta bersedia memberikan bantuan undang-undang dan sokongan moral kepada mangsa demi menegakkan keadilan," katanya.