KOTA KINABALU - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan mendakwa beliau pada awalnya dimaklumkan bakal mempertahankan kerusi miliknya, namun keputusan itu berubah saat akhir.Walaupun keputusan berkenaan mengejutkan, beliau menerimanya dengan hati terbuka kerana menghormati keputusan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor."Semalam saya dihubungi oleh Presiden, mengatakan saya adalah calon di kawasan tersebut, alhamdulillah tapi saat-saat akhir, dihubungi semula dan bertukar. Tidak mengapa, kita terima," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Pemuda Gagasan Rakyat bagi penyerahan tugas-tugas kempen pilihan raya di sini pada Rabu.Fairuz berkata, fokus utamanya kini adalah membantu jentera Pemuda menggerakkan kempen di kawasan yang ditandingi calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), selain menilai langkah seterusnya selepas berbincang dengan kepimpinan parti.Katanya, tindakan yang diambilnya akan memberi kesan besar bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga terhadap kawasan serta seluruh jentera Pemuda yang telah bekerja keras sejak awal."Kita akan cuba fikir dan buat yang terbaik untuk parti ini, dan makluman, dari berminggu-minggu saya dihubungi oleh pelbagai parti lokal dan Semenanjung, sangkaan mereka saya tidak jadi calon."Saya menolak dengan baik permintaan mereka kerana saya hormat sebagai rakan dan saya hormat parti saya. Perjuangan bersama parti, ini yang penting," katanya.Fairuz turut memaklumkan bahawa perjuangannya di Pintasan belum selesai kerana masih banyak urusan pembangunan akar umbi dan agihan geran pantas yang perlu diselesaikan demi rakyat di kawasan itu."Persoalan berkenaan adakah saya akan langgar perintah Presiden untuk bertanding di Pintasan, itu perkara kedua, kita akan balik kawasan dan bincang," ujarnya.Fairuz yang juga Ketua Pemuda Gagasan Rakyat menjelaskan, buat masa ini beliau hanya mahu fokus kepada kerja-kerja utama jentera serta memastikan kemenangan GRS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.Beliau sebelum ini memenangi kerusi DUN Pintasan pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 dengan majoriti 84 undi, menewaskan Presiden USNO yang juga calon GRS pada waktu itu, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Fairuz membawa pelbagai pembangunan infrastruktur dan program kemasyarakatan di kawasan Pintasan, termasuk memperkukuh peranan belia melalui pelbagai aktiviti sukan dan komuniti.