KUALA LUMPUR - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek diminta menyatakan pendirian sama ada kementerian yang dipimpinnya berhasrat untuk memansuhkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada masa akan datang.Persoalan itu dibangkitkan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Dewan Rakyat, di sini pada Rabu."Justifikasi KPM semasa memansuhkan UPSR DAN PT3 ialah untuk memberi ruang kepada pentaksiran holistik dan mengurangkan tekanan peperiksaan."Jika prinsip yang sama digunakan, maka SPM juga boleh dipertimbangkan untuk dimansuhkan secara berperingkat."Justeru, saya mohon supaya Menteri (Pendidikan) menyatakan sama ada kerajaan berhasrat untuk memansuhkan SPM pada masa akan datang selaras dengan pelaksanaan korikulum persekolahan 2027 dan sistem pentaksiran berasaskan kompetensi," katanya.UPSR dimansuhkan sepenuhnya pada tahun 2021 dan digantikan dengan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).PT3 pula dimansuhkan mulai 2022 dan digantikan dengan PBS.Ahli Parlimen pembangkang itu dalam masa sama turut meminta KPM menyatakan bentuk pentaksiran alternatif yang sedang dikaji bagi memastikan penilaian murid kekal telus adil dan diterima industri jika sistem peperiksaan awam utama berkenaan dimansuhkan nanti.