SHAH ALAM - Syarikat rangkaian minuman popular, Zus Coffee telah membuat laporan polis berhubung insiden pertengkaran melibatkan pekerjanya dengan pelanggan dipercayai pelancong asing seperti video tular di media sosial baru-baru ini.Zus Coffee dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa laporan itu dibuat pada Isnin bagi memastikan keselamatan dan melindungi privasi barista yang digelar 'Zurista' itu."Zurista yang terlibat kekal bersama kami dan kini sedang mengambil cuti bergaji untuk pulih daripada insiden tersebut."Kesejahteraannya kekal menjadi keutamaan kami," katanya.Menurut kenyataan itu, insiden tersebut membuka peluang kepada syarikat itu untuk membina budaya kerja yang mampu menangani cabaran dengan profesionalisme dan empati."Kami sedar bahawa pelanggan hadir dengan jangkaan yang berbeza. Kami mengambil peluang ini bagi memperkukuh latihan dan sistem sokongan kami."Insiden ini memberi kesan kepada kesejahteraan mental. Kami memohon komuniti dalam talian membantu memadamkan hantaran yang mendedahkan identiti kerana penyebaran berterusan boleh membawa kesan yang nyata dan berpanjangan," tambahnya.Jelas kenyataan itu, pihaknya tidak bertolak ansur dengan tingkah laku agresif dan komited untuk memastikan premis kekal selamat untuk komuniti.Terdahulu, video berdurasi lebih satu minit tular di media sosial menunjukkan seorang pelanggan wanita bertengkar dan menengking seorang barista atas kelewatan penyediaan minuman.Menerusi video itu, wanita tersebut turut didakwa mengeluarkan kata-kata kesat sebelum melempar secawan kopi ke arah pekerja kedai kopi itu.