Sindiket antarabangsa semakin agresif perdaya rakyat Malaysia jadi keldai dadah

KUALA LUMPUR – Sindiket antarabangsa dikesan semakin agresif mempergunakan rakyat Malaysia sebagai keldai dadah apabila menjadikan golongan belia, pencari kerja, pelajar dan individu berpendapatan tidak stabil sebagai sasaran utama bagi menjalankan aktiviti penyeludupan dadah ke luar negara.Taktik licik itu menyumbang kepada peningkatan ketara kes sepanjang tahun 2025 dengan seramai 55 rakyat Malaysia ditahan di luar negara atas kesalahan berkaitan penyeludupan dadah antara Januari hingga September tahun ini.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada jumlah itu, 50 merupakan lelaki manakala lima lagi perempuan yang ditahan di pelbagai negara termasuk Belgium, Kemboja, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Laos, Macau, Singapura, Taiwan dan Thailand."Peningkatan ini menunjukkan sindiket dadah antarabangsa semakin giat merekrut mangsa baharu melalui pelbagai helah termasuk tawaran kerja palsu dan perjalanan percuma."Sindiket sanggup mengeksploitasi sesiapa sahaja tanpa mengira umur atau latar belakang dengan menjanjikan kerja mudah, upah lumayan serta tiket penerbangan percuma, namun hakikatnya mangsa dijadikan pembawa dadah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Menurutnya, sindiket berkenaan menawarkan bayaran antara RM1,000 hingga RM10,000, selain menjanjikan kemudahan penginapan serta pekerjaan kononnya mudah tanpa memerlukan pengalaman."Semua tawaran itu sebenarnya hanya umpan untuk memperdaya mangsa membawa bagasi atau bungkusan yang diseludup dadah."Siasatan mendapati sindiket menggunakan pelbagai modus operandi termasuk menyembunyikan dadah dalam bagasi, barangan peribadi, perabot kecil, makanan, peralatan elektronik serta melalui perkhidmatan kurier antarabangsa," jelasnya.Tambahnya, kaedah menyembunyikan dadah di dalam badan juga masih digunakan dalam beberapa laluan penerbangan berisiko tinggi."Destinasi utama penyeludupan oleh keldai dadah ini termasuk United Kingdom, beberapa negara Eropah dan Asia Timur, dengan lapangan terbang serantau dijadikan transit bagi mengelak pengawasan ketat di pintu keluar utama negara."Antara jenis dadah yang sering dibawa ialah methamphetamine (syabu), MDMA (ecstasy), ganja dan kokain, bergantung kepada permintaan pasaran antarabangsa serta laluan pengedaran," katanya.Hussein berkata, walaupun pihak berkuasa sudah berkali-kali memberi amaran, masih ramai yang terpedaya dengan janji manis sindiket yang menjanjikan peluang pekerjaan mewah di luar negara."Orang ramai perlu sedar bahawa alasan tidak tahu kandungan bagasi tidak diterima di kebanyakan negara."Ramai rakyat Malaysia kini berdepan hukuman berat termasuk penjara seumur hidup dan hukuman mati kerana menjadi keldai dadah," tegasnya.Beliau turut mengingatkan orang awam supaya berhati-hati terhadap tawaran kerja atau perjalanan yang mencurigakan, terutama apabila diminta membawa barangan milik individu tidak dikenali."JSJN memandang serius peningkatan kegiatan ini dan akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa antarabangsa bagi menumpaskan rangkaian sindiket yang mempergunakan rakyat Malaysia."Kami menyeru masyarakat supaya segera menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan atau pengedaran dadah kepada JSJN melalui talian hotline 012-208 7222," katanya.