KOTA KINABALU - Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengesahkan bahawa beliau telah menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) bagi memberi laluan kepada muka baharu dan anak tempatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk.Dalam satu hantaran di Facebook rasminya pada Rabu, beliau memaklumkan keputusan itu telah disampaikan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi."Saya telah memaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi mengenai hasrat saya untuk tidak meneruskan pencalonan saya untuk DUN Tempasuk."Saya telah memberitahu Presiden bahawa saya ingin memberi laluan kepada muka baharu dan anak tempatan Kota Belud untuk mewakili parti UMNO di DUN Tempasuk," katanya.Menurut Abdul Rahman lagi, beliau pernah bertanding tiga kali di Parlimen Kota Belud (2013, 2018 dan 2022) dengan dua kemenangan dan satu kekalahan, namun UMNO tetap mengekalkan sokongan kuat di peringkat DUN Tempasuk."Dalam ketiga-tiga pertandingan itu, UMNO tetap memenangi undi di DUN Tempasuk walaupun kalah di kerusi Parlimen."Saya percaya anak tempatan dari UMNO Kota Belud akan dapat menggalas tanggungjawab ini dengan cemerlang," katanya.Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus menyumbang kepada parti dalam kapasiti lain meskipun tidak lagi bertanding pada pilihan raya kali ini.Abdul Rahman juga merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti dan semua penyokong UMNO di kawasan DUN Tempasuk atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepadanya selama ini."Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada parti dan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi sendiri yang telah mengumumkan pencalonan saya pada 9 November yang lalu."Begitu juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli dan penyokong UMNO di DUN Tempasuk atas sokongan yang telah diberikan kepada saya selama ini," katanya.