Pindaan Akta 652, 640 perkukuh pembangunan kemahiran negara

SHAH ALAM - Pindaan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) dan Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 (Akta 640) disifatkan sebagai satu langkah proaktif dalam memperkukuhkan sistem pembangunan kemahiran negara.Ahlli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How berkata, pindaan itu jelas membawa isyarat bahawa Malaysia Madani mempunyai komitmen yang tinggi terhadap pembangunan sistem kemahiran yang berpaksikan industri dalam mendepani cabaran ekonomi terkini."Teras untuk menambah keanggotaan Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan menjadikan industri sebagai rakan strategik utama dalam pelaksanaan latihan yang relevan, di samping menonjolkan kehendak sebenar pasaran kerja."Hasilnya, kita bakal melihat tenaga kerja Malaysia Madani kekal kompeten dan mudah diserap ke pasaran," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.Beliau yang juga Ahli Majlis TVET Negara berkata, pindaan itu juga dapat melonjakkan negara menjadi rakan strategik global dan hab serantau berasaskan teknologi serta bakat sekali gus membuka peluang untuk sebarang kerjasama dengan institusi latihan luar bagi perkongsian teknologi dan inovasi kemahiran."Teras memperkenalkan Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM) adalah sesuatu yang amat segar, bertujuan memperkukuh konsep pembelajaran fleksibel yang memberi ruang kepada rakyat meningkatkan kemahiran mengikut keperluan sendiri."Malah, ia juga boleh dijalani secara berperingkat tanpa perlu meninggalkan kerjaya sedia ada, sesuai dengan kehendak pasaran masa kini yang menuntut keluwesan kerjaya." ujarnya.Tambah Howard, mewujudkan kategori pakar kemahiran, pakar kemahiran kanan dan perunding kemahiran akan mengiktiraf kepakaran sebenar tenaga kerja tempatan yang telah lama menyumbang sebagai tulang belakang industri."Langkah ini memperkukuh ekosistem kemahiran negara dan memastikan kepakaran tempatan terus dimanfaatkan dalam agenda pembangunan ekonomi Malaysia."Secara keseluruhan, pindaan Akta 652 dan Akta 640 ini menandakan satu langkah proaktif dan strategik Kementerian Sumber Manusia (Kesuma). Tahniah kepada Menteri, Steven Sim Chee Keong atas kebijaksanaan beliau membentangkan pindaan berkenaan untuk bacaan pertama di Parlimen," katanya.Howard berkata, dengan penekanan kepada industri, fleksibiliti pembelajaran, pengiktirafan kepakaran tempatan dan keterangkuman global, negara diyakini bakal memiliki tenaga kerja mahir yang berdaya saing, relevan serta mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara secara berterusan.