KUALA LUMPUR – Setakat ini tiada bukti yang boleh mengaitkan penyanyi rap, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee terlibat dengan kes kematian pempengaruh wanita warga Taiwan di sebuah hotel di sini bulan lalu.Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, disebabkan perkara itu, pemuzik kontroversi berusia 42 tahun itu akan dilepaskan dengan jaminan polis pada Khamis.Bagaimanapun, beliau berkata, jika terdapat sebarang perkembangan baharu berhubung siasatan kes berkenaan, Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mengambil tindakan sewajarnya."Arahan telah dikeluarkan supaya siasatan lanjut dijalankan bagi memastikan semua aspek kes berkenaan diteliti."Siasatan pula diteruskan mengikut prosedur yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.Sebelum ini, pengarah filem 'Nasi Lemak 2.0' tersebut direman bermula 5 hingga 13 November bagi membantu siasatan.Sebelum ini, beliau menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 5 November selepas dikaitkan dengan kematian seorang pempengaruh itu.Polis sebelum ini memaklumkan bahawa kes tersebut pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membabitkan unsur jenayah.Difahamkan, suspek berada di lokasi kejadian ketika insiden itu berlaku.Polis masih meneruskan siasatan dari pelbagai sudut termasuk terhadap individu terakhir yang bersama mangsa sebelum kematiannya.