KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan yang menghormati prinsip pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan kerajaan untuk tidak membuat rayuan terhadap pemberian khas itu merupakan langkah yang tepat dan selaras dengan semangat federalisme serta menghormati hak rakyat Sabah yang telah dijamin sejak dahulu lagi."BN turut mengambil maklum keputusan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang akan segera memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Sabah bagi memastikan pelaksanaan pemberian khas ini dapat direalisasikan dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Zahid berkata, sejak dari awal, BN sentiasa menjunjung kepentingan rakyat Sabah dengan mempertahankan hak-hak yang termaktub dalam perjanjian serta Perlembagaan, selain berusaha memastikan setiap komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap negeri itu dilaksanakan secara adil dan berakauntabiliti.Menurutnya lagi, BN akan terus konsisten memperjuangkan hak Sabah dan juga mana-mana negeri lain mengikut kerangka perundangan serta semangat Perlembagaan demi memastikan Malaysia kekal stabil, makmur dan inklusif.Terdahulu Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Selasa memaklumkan, kerajaan Persekutuan akan memulakan proses rundingan bersama kerajaan negeri Sabah dengan segera.Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri bagi membincangkan berkenaan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terkait Pemberian Khas Negeri Sabah yang diputuskan dalam Permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap kerajaan Malaysia.Oleh itu, kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil.Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.