Rina Jainal digantung keahlian, tidak dicalon pertahan DUN Kukusan

KOTA KINABALU - Jawatan Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) dan keahlian Datuk Rina Jainal telah digantung berkuatkuasa serta-merta.Pada masa sama, beliau tidak lagi dicalonkan bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).Tindakan mengantung jawatan dan keahlian bekas penyandang DUN Kukusan itu adalah berdasarkan hasil siasatan Jawatankuasa Disiplin Harapan Rakyat pada 29 Jun tahun lalu.Setiausaha Agung Harapan Rakyat, Christy Chok Lee Lui berkata, Majlis Tertinggi Harapan Rakyat telah menerima syor agar tindakan tegas diambil berdasarkan bukti-bukti siasatan yang telah dijalankan."Walaupun pada masa tersebut, Harapan masih memberi ruang kepada beliau, namun tindakan berterusannya telah menghancurkan nama baik parti sehinggakan masyarakat luar khususnya di Kukusan telah terpengaruh dengan lontaran fitnah dan tomahan terhadap parti dan Presiden Tan Sri Liew Yun Fah."Sehubungan itu, Harapan Rakyat amat memandang serius perkara ini dan mengambil keputusan untuk menguatkuasakan syor Jawatankuasa Disiplin parti yang lalu untuk mengantung jawatan beliau untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa serta-merta daripada tarikh surat yang dikeluarkan terhadapnya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Harapan Rakyat turut mengambil maklum berhubung penularan tangkap layar surat pelantikan calon Harapan Rakyat-Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Kukusan baru-baru ini.Menurut kenyataan tersebut, Harapan Rakyat mendapati, dalam tempoh hampir dua tahun ini Rina gagal membawa dan mempromosikan nama PHRS dalam sebarang aktiviti kemasyarakatan serta gerak kerja di Kukusan."Ini termasuklah tidak menggunakan atau meletakan logo atau bendera parti di pejabat beliau seperti yang wajib dilakukan oleh wakil rakyat yang bernaung dalam sesebuah parti."Banyak aduan telah diterima ahli parti di DUN Kukusan dan menuntut penjelasan daripada kepimpinan Harapan Rakyat. Ini termasuk membabitkan kerja pewartaan empat perkampungan di Lapangan Terbang Lama, Tawau," katanya.Selain itu tambahnya, tindakan penyandang kerusi DUN Kukusan yang tidak bergerak seiring dengan parti telah dilihat merencatkan usaha Harapan Rakyat memperjuangkan hak pewartaan perkampungan berkenaan."Malah, jauh lebih besar, dibimbangi akan menafikan hak orang kampung yang telah lama mengimpikan pewartaan berkenaan seperti yang telah berjaya dilakukan sekarang," katanya.Sehubungan itu, bagi mengelakkan lebih banyak kekeliruan dan impak negatif kepada parti, Harapan Rakyat memberi tanggungjawab kepada Ketua Bahagian Kukusan, Samsiah Usman untuk terus menggalas urusan pergerakkan ahli parti serta berkhidmat untuk rakyat di Kukusan."Menerusi perjumpaan bersama barisan Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua-Ketua Cawangan Harapan Rakyat di DUN Kukusan, mereka telah bersetuju tidak mencalonkan penyandang DUN Kukusan sebagai calon pada PRN Sabah kali ini."Harapan Rakyat sentiasa meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan bagi memastikan GRS terus relevan untuk membantu merancakkan perancangan pembangunan di DUN Kukusan," katanya.