KUALA LUMPUR - Perjanjian Perdagangan Tindak Balas (ART) yang dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) dijangka memberi kejelasan kepada pelabur serta membuka lebih banyak peluang pelaburan baharu ke negara ini.Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa yang sudah menyatakan komitmen meningkatkan pelaburan selepas perjanjian itu ditandatangani."Kita nampak beberapa syarikat termasuk dari AS dan juga tempatan sudah maklumkan akan tingkatkan pelaburan kerana kini ada kejelasan dan kepastian selepas perjanjian ini dimeterai."Langkah ini juga membuktikan Malaysia diiktiraf sebagai antara rakan dagang penting dalam rantaian bekalan serantau," katanya dalam program Interviu yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.Beliau berkata demikian ketika menjelaskan mengenai perkembangan rundingan ART dan kesannya terhadap sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mungkin terkesan dengan perubahan tarif.Dalam pada itu beliau memaklumkan, kerajaan sudah menyediakan beberapa langkah bagi membantu PMKS menghadapi cabaran pasaran baharu, termasuk menaikkan kadar Geran Pembangunan Pasaran (MDG) hingga 100 peratus dalam Belanjawan sebelum ini.Selain itu, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) di bawah Kementerian Kewangan turut menawarkan jaminan bagi memudahkan syarikat mendapatkan pinjaman bank."Ini sedikit sebanyak membantu PMKS yang akan terkesan. Contohnya dalam industri perabot, walaupun kadar tarif hampir sama, harga mungkin meningkat sedikit di pasaran AS dan ini boleh menjejaskan permintaan."Jadi kita bantu mereka teroka pasaran baharu seperti di Timur Tengah dan Afrika," katanya.Tengku Zafrul turut menegaskan rundingan yang dijalankan bersama AS melibatkan pelbagai pihak industri dan agensi kerajaan bagi memastikan kepentingan negara serta daya saing industri tempatan terus terpelihara."Rundingan ini cukup terperinci dan semua pihak industri memberi sokongan. Kita mahu pastikan dari segi pekerja dan industri, Malaysia kekal berdaya saing."Saya menjangkakan beberapa lagi sesi rundingan akan berlangsung menjelang akhir November ini sebelum AS menguatkuasakan kadar tarif baharu terhadap negara yang tidak menyertai perjanjian itu," ujarnya.