KUALA LUMPUR – City University Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pertama di Malaysia yang mengadakan Majlis Konvokesyen dipacu sepenuhnya oleh teknologi Kecerdasan Buatan (AI).Naib Canselor City University Malaysia, Profesor Dr Rosnizah Shaari berkata, konvokesyen yang digerakkan oleh AI itu bukan sekadar inovasi, sebaliknya simbol kepada komitmen universiti terhadap ketepatan dan kemajuan teknologi."Matlamat kami sentiasa untuk menjadikan teknologi bermakna kepada masyarakat."Ia membuktikan bagaimana City University terus berkembang sebagai institusi berdaya maju yang meraikan pencapaian manusia selari dengan kemajuan digital," katanya.Terdahulu, Majlis Konvokesyen 2024/2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) itu meraikan seramai 2,334 graduan daripada pelbagai disiplin pengajian dengan 1,233 graduan hadir secara bersemuka untuk menerima skrol masing-masing.Antara penerima ijazah Doctor of Business Administration (DBA) termasuklah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman dan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Wira Dr M Noor Azman Taib.Pencapaian akademik mereka mencerminkan komitmen City University dalam melahirkan pemimpin transformatif yang menyumbang kepada tadbir urus negara serta inovasi dalam sektor awam dan industri.Lebih menarik, buat pertama kalinya peranan pengacara manusia digantikan dengan sistem suara bertenaga AI yang dibangunkan menggunakan teknologi Amazon dan Google AI.Sistem terbabit menyelesaikan salah satu cabaran utama dalam majlis konvokesyen, iaitu sebutan tepat nama graduan daripada pelbagai latar linguistik dan budaya.Dengan pelajar dari lebih 65 negara, termasuk Malaysia, China, Nigeria, Mesir, Pakistan dan Maldives, sistem suara AI tersebut berjaya menyebut nama graduan dengan hampir sempurna, memastikan setiap detik pengiktirafan menjadi tepat, peribadi dan bermakna.Majlis itu turut memperkenalkan sistem automasi berasaskan kod QR dengan setiap graduan diberikan kod unik diimbas untuk mengaktifkan AI menyebut nama mereka sambil memaparkan nama, program dan gambar di skrin utama.Inovasi berkenaan bukan sahaja meningkatkan tahap pemperibadian, tetapi turut menjadikan keseluruhan proses majlis lebih cekap dan menarik.Projek AI tersebut dikonsepkan oleh Ketua Akademik, Ts Asma Zubaida Mohamed Ibrahim dan Timbalan Pendaftar, Dr Sallina Mohamed Salim sebagai sebahagian daripada agenda transformasi digital City University.Pembangunan sistem pula dilaksanakan oleh pelajar tahun akhir Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Jibril Mohamed Hassan dengan sokongan teknikal daripada Syamsul Izwan dari Jabatan IT.Kerjasama berkenaan mencerminkan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman iaitu pelajar turut menyumbang secara langsung kepada inovasi universiti.Menurut Ts Asma Zubaida, konvokesyen berasaskan AI menandakan bab baharu bagi City University."Dengan memperkenalkan AI dalam majlis, kami membuktikan bagaimana teknologi dapat menjadikan acara lebih inklusif, efisien dan bersambung secara global."Ia turut memperlihatkan aplikasi sebenar ilmu yang dipelajari oleh pelajar di dalam bilik darjah," ujarnya.Ditubuhkan pada 1984, City University Malaysia merupakan antara IPTS terawal di negara dan kini menawarkan lebih 70 program di peringkat sijil, asas, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan kedoktoran.Universiti itu kini menempatkan pelajar dari lebih 65 negara di seluruh dunia, menjadikannya komuniti akademik global yang berteraskan inovasi, keterangkuman dan pembelajaran sepanjang hayat.Majlis konvokesyen berasaskan AI itu menjadi penanda aras baharu dalam evolusi digital pendidikan tinggi, menggambarkan visi City University untuk menggabungkan tradisi dengan inovasi serta memperkukuh kedudukannya sebagai institusi global yang melahirkan graduan berdaya saing dan berfikiran masa hadapan.