KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan Persekutuan perlu membatalkan alasan penghakiman mahkamah dalam isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang menyatakan kerajaan di peringkat negeri tersebut dan juga Persekutuan bertindak secara tidak berperlembagaan sejak 1974.Anwar berkata, disebabkan itu kerajaan Persekutuan tidak boleh berdiam diri terhadap alasan penghakiman berkenaan."Keputusan (mahkamah yang menyatakan) kita ketepikan Perlembagan negara, satu keputusan yang mesti dirayu kerana kita mengharapkan ia dibatalkan mahkamah dari sudut semua tuduhan keras ke atas semua kerajaan sejak 1974."Ini satu keputusan yang sangat serius, sebab itu saya harap ahli Parlimen baca alasan penghakiman (yang dibuat) kerana ini berbeza. Saya tak mahu ini jadi polemik dalam isu 40 peratus (pemberian khas)," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang memintanya menyatakan rasional keputusan kerajaan Persekutuan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkenaan pemberian khas negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil dan sebaliknya merayu atas alasan kecacatan dalam isu yang lain serta apa implikasi keputusan itu.Bagaimanapun, Anwar berkata, rayuan yang akan difailkan hanya berkisar alasan penghakiman yang mendakwa kajian semula pemberian khas yang dibuat selepas 2021 menyalahi undang-undang dan tak rasional serta mengaitkan kesilapan besar dibuat kerajaan sejak 1974.Menurutnya, alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu membawa maksud Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Perdana Menteri terdahulu, kerajaan negeri terdahulu dan ahli Parlimen terdahulu sejak 1974 semuanya diputuskan sebagai terlanjur, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur serta tidak berkadaran."Mengaitkan kesilapan besar yang dibuat oleh kerajaan sejak 1974 juga bermakna kerajaan Persekutuan di bawah (pimpinan Perdana Menteri sejak) Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga sekarang dan kerajaan negeri di bawah Tun Datu Mustapha Datu Harun, Tun Fuad Stephens sehingga kini serta ahli Parlimen yang terbabit dalam kerajaan sejak 1974 sehingga hari ini... semuanya diputuskan sebagai terlanjur.Anwar mendakwa, belum pernah berlaku keputusan sebegitu keras dibuat oleh mahkamah sepanjang sejarah negara."Apakah kerajaan boleh berdiam dan tidak membatalkan rekod yang menyatakan terlanjur, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur serta tidak berkadaran?"Ini belum pernah berlaku keputusan (dibuat) mahkamah sebegitu keras dan melibatkan seluruh kerajaan sejak 1974," tegasnya lagi.Pada Selasa lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilaporkan berkata, kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap pemberian khas negeri Sabah dari tahun 1974 hingga 2021 berdasarkan 40 peratus hasil.AGC memberitahu, Peguam Negara turut memberikan nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri berhubung kecacatan dalam alasan penghakiman berkenaan.Alasan penghakim tersebut antaranya mendakwa bahawa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sejak 1974 telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan PerlembagaanPenghakiman juga menyatakan bahawa Kajian Semula selepas tahun 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur dan tidak berkadaran.Pada 17 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula hak tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.