PRN Sabah: Baki empat lagi calon diumum, lengkapkan keseluruhan jumlah bertanding-GRS

KOTA KINABALU - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah melengkapkan keseluruhan 55 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) dengan mengumumkan baki empat calon terakhir pada Khamis.Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pengumuman itu menutup senarai penuh calon GRS bagi PRN17, merangkumi gabungan pemimpin berpengalaman serta calon baharu."Empat calon berkenaan ialah Dr Bonaventure Boniface bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli, Rafie Robert Tawik (Bingkor), Samsiah Usman (Kukusan) dan Datuk Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik)."Semua calon ini membawa latar belakang, bakat dan pengalaman yang pelbagai. Saya yakin mereka berupaya memenangi pilihan raya ini," katanya di sini pada Khamis.Hajiji turut menyeru semua penyokong GRS supaya terus bersatu dan memastikan kemenangan gabungan itu, bagi memberikan kerajaan pimpinan GRS mandat baharu untuk meneruskan pembangunan negeri.Sebelum itu, Hajiji telah mengumumkan seramai 51 calon yang akan bertanding pada PRN kali ini menampilkan gabungan pemimpin berpengalaman dan calon muda dengan 35 peratus terdiri daripada muka baharu.