MACHANG – Polis Kelantan menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan suspek kedua kes tembak mati seorang rakyat Malaysia di pekan Sungai Golok pada 1 November lalu, susulan maklumat awal yang menunjukkan lelaki tersebut dipercayai memiliki dua kerakyatan.Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya kekal berhubung rapat dengan Polis Narathiwat bagi menjejak suspek berusia 27 tahun yang masih bebas dan disyaki melarikan diri menggunakan laluan haram di sepanjang sempadan."Berdasarkan maklumat awal, suspek kedua ini mungkin mempunyai dua kerakyatan, namun perkara itu masih dalam siasatan pihak Thailand."Kami sendiri bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk mengesan suspek," katanya ketika ditemui selepas Program Town Hall Discussion Ketua Polis Kelantan 2025: Waspada Jenayah Dadah dan Jenayah Siber di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Machang di sini pada Khamis.Dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan seorang peniaga beg dalam talian, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, ditembak sebanyak 18 das selepas dikatakan berlaku pertengkaran antara mereka pada jam 6.40 petang.Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sungai Golok untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia pada malam hari yang sama.Susulan itu, suspek pertama yang berusia 31 tahun yang juga bekas pemain Kelantan FA dan abang kepada suspek kedua telah menyerah diri kepada polis Thailand pada 2 November lalu.Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand turut meliputi pertukaran maklumat serta pemantauan kemungkinan suspek memasuki Malaysia."Kami akan bantu sepenuhnya sehingga suspek ditangkap," katanya.