SHAH ALAM - Majoriti pengguna media sosial tidak bersetuju dengan cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sedia mempertimbangkan pengambilan jururawat dari luar negara bagi menampung kekurangan kira-kira 8,000 jururawat tempatan ketika ini.Hasil tinjauan undian (poll) yang dijalankan oleh Sinar Harian di lima platform media sosial sehingga jam 2 petang menunjukkan lebih dua pertiga pembaca menolak cadangan kementerian untuk membawa masuk jururawat luar negara.Secara keseluruhan, daripada 1,089 undi diterima, sebanyak 68.2 peratus (743 undi) tidak bersetuju, 16.2 peratus (176 undi) bersetuju dan 15.6 peratus (170 undi) berpandangan ia perlu dikaji semula.Undian di YouTube menerima sambutan tertinggi dengan 828 responden, menunjukkan 67 peratus (555 undi) tidak bersetuju, 19 peratus (157 undi) bersetuju dan 14 peratus (116 undi) mahu cadangan tersebut dikaji semula.Melalui tinjauan undian di Facebook Sinar Harian, daripada 29 undi, sebanyak 80 peratus (23 undi) tidak bersetuju, manakala 20 peratus (enam undi) berpandangan cadangan itu perlu dikaji semula, sementara tiada responden bersetuju dengan langkah berkenaan.Bagi aplikasi X (Twitter) pula, melibatkan 45 undi, 42.2 peratus (19 undi) tidak bersetuju, 17.8 peratus (lapan undi) bersetuju dan 40 peratus (18 undi) berpendapat isu itu perlu dikaji semula.Di Instagram, sebanyak 131 undi (82 peratus) daripada 160 undi tidak bersetuju, enam peratus (10 undi) bersetuju dan 12 peratus (19 undi) berpandangan ia perlu dikaji semula.Tinjauan di Threads pula merekodkan 27 undi dengan 56 peratus (15 undi) tidak bersetuju, empat peratus (satu undi) bersetuju dan 41 peratus (11 undi) mahu langkah itu dikaji semula.Secara keseluruhan, purata keputusan menunjukkan lebih dua pertiga pembaca menolak cadangan kementerian untuk membawa masuk jururawat luar negara.