KUALA LUMPUR - Kertas siasatan membabitkan penyanyi rap kontroversi, Wee Meng Chee atau Namewee, berhubung kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan di sebuah hotel di ibu negara bulan lalu akan dirujuk semula ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) selepas laporan bedah siasat diperoleh.Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, Namewee akan dibebaskan dengan jaminan polis pada Khamis sehingga 26 November depan setelah kertas siasatan dirujuk ke PPN."Ini sementara laporan bedah siasat si mati (pempengaruh wanita Taiwan) diperoleh."Kertas siasatan akan dirujuk semula ke Pejabat PPN Kuala Lumpur setelah laporan bedah siasat diperoleh," katanya dalam kenyataan pada Khamis.Pada Rabu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilaporkan berkata, bahawa pihaknya mendapati tiada bukti yang menunjukkan Namewee terbabit dalam kes pembunuhan pempengaruh terbabit.Terdahulu, Namewee, 42, tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 5 November lalu bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.Bagi reman pertama, Namewee direman selama enam hari sebelum dilanjutkan tiga hari lagi sehingga Khamis.Sebelum ini, Fadil dilaporkan berkata bahawa pihaknya mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut (SDR), namun kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.