Bukan soal cabar Perlembagaan tetapi Kedah dibenar semak hak - PN

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Kedah menegaskan bahawa keputusan kerajaan negeri itu untuk menyemak haknya ke atas Pulau Pinang bukan bermaksud mencabar Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan negeri itu sebagaimana yang didakwa pihak tertentu.Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Saad berkata, apa yang dibangkitkan oleh Kerajaan Kedah adalah suatu tuntutan terhadap hak yang dijamin oleh Perlembagaan."Bagi kami tidak timbul soal mencabar Perlembagaan atau kedaulatan negeri, sebaliknya apa yang dibangkitkan oleh Kedah merupakan satu tuntutan terhadap hak yang juga dijamin oleh Perlembagaan."Perkara itu turut dititahkan Sultan Kedah bersempena hari keputeraan baginda ke-81 pada tahun 2023 bahawa status pajakan Pulau Pinang ini perlu diperjelaskan secara terang berlandaskan fakta tanpa prejudis," katanya ketika sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Khamis.Pada Rabu, beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mendakwa kedudukan Perlembagaan Persekutuan mengatasi sebarang dakwaan sejarah bahawa Pulau Pinang milik Kedah.Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) berkata, Perlembagaan secara jelas memperuntukkan kedaulatan semua negeri dalam Malaysia termasuk Pulau Pinang.Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan ahli Parlimen pembangkang bahawa Pulau Pinang adalah hak milik kesultanan Kedah yang telah dipajak.RSN Rayer (PH-Jelutong) pula berkata, Perkara 4(1) dan 4(2) Perlembagaan menyatakan Pulau Pinang adalah salah sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia, justeru kedaulatannya tidak boleh dipertikaikan."Ia tidak boleh dituntut oleh sesiapa pun termasuk Kedah," kata Rayer.Mengulas lanjut, Ahmad berkata, PN berpendirian langkah Kedah menyemak haknya itu sewajarnya dihormati semua pihak kerana ia dibuat berpandukan lunas perundangan bahkan kerajaan negeri berkenaan juga tidak bermaksud mencabar kedaulatan Pulau Pinang seperti yang digembar-gemburkan.Katanya, apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya kerana kedaulatan Kedah telah dicabar oleh sikap prejudis pihak tertentu.Sementara itu, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, berdasarkan semakan yang baharu dibuatnya dengan Menteri Besar Kedah, kerajaan negeri didapati menerima bayaran khas Pulau Pinang daripada kerajaan Pusat atas pajakan yang telah ditandatangani pada 1869 sebanyak RM10 juta setiap tahun."Jadi kerajaan negeri termasuk Sultan Kedah seperti diketahui umum telah mempersetujui supaya isu berkaitan kedudukan sebenar Pulau Pinang dan Kedah ini diperjelaskan di hadapan mahkamah."Atas dasar itulah kami ahli-ahli Parlimen PN seluruh negara menyokong penuh tindakan dan langkah yang diambil oleh kerajaan negeri Kedah menubuhkan satu pasukan perundangan untuk meneliti dengan lebih terperinci setelah analisis dibuat oleh pakar-pakar sejarah mengenai kedudukan serta asal-usul Kedah dan Pulau Pinang ini sebelum membawa kes itu ke mahkamah," katanya.Tambah beliau, Perlembagaan juga membenarkan perkara tersebut dicabar kerana kerajaan negeri merupakan sebuah entiti yang boleh menyaman dan juga disaman.Ujarnya, satu-satu pajakan secara asasnya mempunyai tempoh tamat atau tarikh luput dan begitu jugalah bagi pajakan di Pulau Pinang.