40 peratus hasil Sabah: 'Saya hargai penerangan PM tapi rayuan tetap rayuan' - Ewon

KOTA BELUD - Bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menghargai penerangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen berhubung hak 40 peratus Sabah dilindungi Perlembagaan Persekutuan.Bagaimanapun, Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya juga mengambil maklum tentang rayuan yang akan difailkan ke atas alasan penghakiman tersebut."Saya hargai penerangan Perdana Menteri, tapi rayuan tetap rayuan."Selama tiga tahun dalam Kabinet Persekutuan, saya konsisten menyatakan pandangan dan pendirian saya bahawa hak 40 peratus Sabah adalah hak perlembagaan."Hak perlembagaan berlainan dengan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk Sabah di bawah Senarai Persekutuan" katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) berkata, sepanjang tiga tahun sebagai menteri, jawapan balas yang diberikan sama dengan jawapan yang diberikan dalam video tular di Tamu Gaya Street.Justeru, Ewon menyeru agar Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 Sabah kali ini harus menjadi referendum untuk mempertahankan hak 40 peratus Sabah."Referendum dengan menyokong parti-parti tempatan, supaya perjuangan hak Sabah lebih berkesan," katanya.Terdahulu, Ewon meletak jawatan sebagai Menteri KUSKOP pada Sabtu minggu lalu, selepas tidak berpuas hati dengan isu Hak 40 peratus Sabah.