KUALA LUMPUR – Gelaran doktor (Dr) bukan hak eksklusif pengamal perubatan semata-mata, sebaliknya turut digunakan secara sah oleh pelbagai profesion dan bidang akademik lain.Presiden Majlis Perubatan Malaysia (MMC) Datuk Dr Mahathar Abd Wahab dalam kenyataan pada Selasa menjelaskan penggunaan gelaran tersebut merangkumi graduan perubatan sebagai pengiktirafan kelayakan akademik, selain doktor pergigian, doktor veterinar serta pemegang ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai disiplin.Meskipun begitu, beliau menegaskan bahawa penggunaan gelaran doktor tidak boleh disalah tafsir sebagai kebenaran untuk mengamal perubatan di Malaysia."Bagaimanapun, penggunaan gelaran tersebut tidak memberi hak kepada individu tersebut untuk mengamal sebagai seorang pengamal perubatan di Malaysia. Kebenaran untuk mengamalkan perubatan adalah tertakluk kepada pematuhan terhadap Akta Perubatan 1971 dan Peraturan-Peraturan yang dibuat di bawahnya," katanya.Ujar Dr Mahathar, bagi graduan perubatan yang memperoleh kelayakan daripada program perubatan yang tidak tersenarai dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971, pertimbangan bagi tujuan pendaftaran untuk menjalankan amalan perubatan adalah tertakluk kepada keperluan ditetapkan di bawah peruntukan undang-undang berkenaan, termasuk lulus peperiksaan serta menjalani latihan siswazah di hospital latihan siswazah yang diiktiraf di Malaysia."Sebagai prinsip umum, semua individu yang ingin mengamal perubatan di Malaysia hendaklah berdaftar dengan MMC dan memegang sijil Perakuan Amalan Tahunan (PAT) sah sebelum menjalankan sebarang bentuk amalan perubatan," jelas beliau.Penggunaan gelaran Dr di awalan nama menjadi polemik selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan barisan baharu Kabinet pimpinannya baru- baru ini yang menyaksikan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari diumumkan sebagai Menteri Belia dan Sukan.Semakan mendapati nama Taufiq tidak tersenarai dalam laman web Majlis Perubatan Malaysia (MMC), sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesahihan penggunaan gelaran doktor oleh menteri terbabit.