Polis sah mayat wanita dalam beg adalah Suri

REMBAU – Teka-teki penemuan mayat seorang wanita di dalam beg di sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4 di sini akhirnya terjawab apabila polis mengesahkan identiti mangsa sebagai Suri Narudin.Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pengesahan itu diperoleh hasil pemeriksaan dan perbandingan cap jari yang dijalankan oleh pihak polis."Satu set cap jari mangsa telah dikemukakan ke Pejabat Pendaftaran Penjenayah Malaysia, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi tujuan semakan."Berdasarkan pemeriksaan dan perbandingan cap jari, pihak polis mengesahkan cap jari berkenaan sepadan dengan rekod dalam Sistem Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) atas nama Suri Narudin yang dilaporkan hilang melalui laporan polis di Balai Polis Ampang pada 15 Disember 2025," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Menurutnya, polis turut menerima laporan analisis DNA (Deoxyribonucleic Acid) daripada Jabatan Kimia Malaysia yang menunjukkan hubungan kekeluargaan dengan ahli keluarga wanita terbabit."Hasil keputusan analisis DNA mendapati, spesimen yang dianalisis menunjukkan hubungan kekeluargaan terdekat iaitu adik-beradik kandung dengan kebarangkalian hubungan yang sangat tinggi."Penemuan ini sekali gus mengukuhkan proses pengesahan identiti mayat sebagai Suri Binti Narudin," katanya.Justeru, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes tersebut diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau atau mana-mana balai polis berhampiran."PDRM memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus, profesional serta berlandaskan undang-undang," katanya.Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat seorang wanita di dalam beg di sebuah rumah di Rembau pada 18 Disember lalu yang dikaitkan dengan seorang wanita, Suri Narudin, 53, yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu.Susulan itu, polis menahan dua lelaki masing-masing di Melaka termasuk suspek di Genting Sempah, Bentong, Pahang untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.Identiti wanita itu sebelum ini sukar untuk disahkan berikutan keadaan mayat yang sudah mereput dan dipercayai meninggal dunia melebihi tiga hari.