ALOR SETAR – Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an ditahan polis bersama pelbagai jenis dadah dalam satu serbuan di sebuah bilik hotel di sini pada Selasa.Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar hasil maklumat risikan berkaitan kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi, polis menemui tiga paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki heroin seberat 9.40 gram (g) dan sembilan paket syabu seberat 24.91g."Selain itu, 11 paket syabu seberat 1,173g, satu paket heroin seberat 58g dan tujuh papan pil disyaki Erimin 5 dengan anggaran berat 20g."Jumlah keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM135,900 dan mampu dibekalkan kepada kira-kira 6,000 orang penagih," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Jelas beliau, selain dadah, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Honda CR-V 2.0L i-VTEC (A) milik suspek bagi membantu siasatan lanjut.Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine."Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau berkaitan kesalahan dadah serta lapan lagi rekod jenayah lain," ujarnya.Suspek kini direman selama lima hari sehingga 28 Disember ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, bergantung kepada seksyen pertuduhan.