SEREMBAN - Mampu memiliki kereta mewah hingga berharga jutaan ringgit, tetapi culas memperharui cukai jalan dan insurans!Itu sikap segelintir pemilik kenderaan mewah termasuk seorang ahli perniagaan bergelar datuk yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) Negeri Sembilan dalam 'Ops Luxury' dilaksanakan sepanjang tahun ini.Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 106 kenderaan mewah pelbagai jenama antaranya Range Rover, Porsche Macan, BMW7 Series, Mercedes-Benz, Audi A-Series dan Toyata Alphard telah disita."Anggaran harga bagi sebahagian kenderaan yang disita, khususnya model di bawah jenama Land Rover adalah antara RM500,000 hingga RM1.2 juta."Kebanyakan pemilik apabila ditahan, mereka beri alasan terlupa atau tidak ingat untuk memperharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans," katanya dalam sidang akhbar di JPJ Negeri Sembilan pada Rabu.Beliau menegaskan, alasan sedemikian tidak boleh diterima memandangkan setiap pemilik kenderaan akan menerima notifikasi melalui sistem MyJPJ sebelum tempoh LKM tamat.Jelas beliau, pemilik yang mahu menuntut kenderaan yang disita, perlu menyelesaikan segala senarai hitam atau saman yang tertunggak selain memperbaharui LKM dan insurans."Jika gagal buat demikian dalam tempoh tiga bulan, JPJ terpaksa merujuk kepada pihak mahkamah untuk tindakan lucut hak."Hasil penguatkuasaan dilakukan, jumlah kenderaan mewah yang disita tahun ini meningkat 80 peratus berbanding tahun lalu yang hanya merekodkan 20 kenderaan," katanya.Tambah beliau, tindakan penguatkuasaan itu melibatkan pemilik kenderaan berusia antara 35 hingga 55 tahun yang kebanyakannya terdiri daripada ahli perniagaan, kontraktor dan eksekutif jualan.Katanya, berdasarkan statistik sepanjang tahun ini, sebanyak 102 kesalahan LKM tamat tempoh, 89 tiada insurans, 32 tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan dua lagi CDL tamat tempoh.Hanif Yusabra berkata, Ops Luxury merupakan tindakan penguatkuasaan bersepadu di peringkat nasional dan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membendung trend pemilikan serta penggunaan kenderaan mewah yang tidak berdaftar secara sah atau cuba mengelak pembayaran cukai jalan.