Ceria di musim cuti, salji buatan dan cahaya warnai Genting Winter Wonderland 2025

GENTING HIGHLANDS – Resorts World Genting (RWG) kembali menceriakan musim percutian hujung tahun dengan menyediakan pelbagai hiburan, persembahan dan aktiviti kekeluargaan di pusat peranginan tanah tinggi itu menerusi penganjuran Genting Winter Wonderland 2025.Program yang berlangsung selama 42 hari bermula 21 November 2025 hingga 1 Januari 2026 itu menawarkan pengalaman berbeza kerana dapat menyaksikan Genting Highlands menjadi kawasan musim sejuk yang dipenuhi dekorasi berkilauan, salji buatan dan sambutan perayaan bagi pengunjung pelbagai peringkat umur.Genting Malaysia Berhad dalam satu kenyataan berkata, Kimhua Atrium pasti menjadi tumpuan utama pengunjung apabila diserikan dengan persembahan tarian harian bermula 21 November.Menurutnya, menjelang 19 Disember pula, kemeriahan diteruskan dengan pelbagai persembahan khas termasuk Jolly Jumbos & The Twinkles, The Enchanted Noël, Christmas Choir serta persembahan ventriloquism eksklusif pada 24, 25 dan 31 Disember."Ruang atrium itu turut dihiasi karusel gergasi, susunan hadiah berwarna-warni dan pokok Krismas berkilauan yang menjadi tarikan utama serta latar bergambar pengunjung."Dalam semangat keprihatinan dan perkongsian, RWG menganjurkan inisiatif Gift Bank di Kimhua Atrium dari 21 November hingga 24 Disember bagi menggalakkan pengunjung menyumbangkan hadiah."Inisiatif tersebut mendapat sokongan MINISO yang turut menyumbangkan rangkaian produknya bagi menceriakan sambutan Krismas pada -kanak yang memerlukan," ujarnya pada Rabu.Tambah kenyataan itu, setakat ini, kira-kira 160 hadiah berjaya dikumpulkan dan akan disalurkan kepada beberapa rumah kebajikan terpilih.Jelasnya, antara rumah kebajikan yang terlibat ialah Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Mary, The Lighthouse Children’s Welfare Home dan Persatuan Kebajikan Wen Hua."Bagi meraikan kanak-kanak terbabit, RWG turut menjemput mereka menikmati pengalaman istimewa termasuk menaiki kereta kabel, melawat Skytropolis Indoor Theme Park serta menyaksikan persembahan Krismas sebelum menerima hadiah daripada Santa Claus."Selain itu, kemeriahan perayaan turut menyerikan kawasan Gohtong Way dan Liberty Lane. Di sini terdapat pelbagai pilihan makanan yang dijual dan masuk secara percuma."Para pengunjung boleh menikmati hidangan seperti hotpot dan aneka sajian perayaan di Fire Pit, Trattoria IL Lago, FUHU serta kios makanan Asteroid Arcade sambil menyaksikan salji turun pada waktu malam," katanya.Menjelang detik penghujung tahun, Genting bakal menjadi pusat tumpuan dua malam paling dinanti kerana Malam Krismas diserikan dengan persembahan Vanessa Reynauld, Angela Ong dan Ronnie Jupiter sebelum DJ Blink mengambil alih pentas dengan muzik bertenaga serta pertunjukan cahaya dan laser.Malam Tahun Baharu pula menyaksikan barisan DJ seperti Wu Kong, ManHanD, Yin Ern, Juztin Lan dan KAIA Lee, dengan hos Shaun Stephen memastikan 2025 ditutup dengan penuh gaya.Sepanjang festival, pelbagai photobooth disediakan di lokasi strategik bagi membolehkan pengunjung merakam momen istimewa dan membawa pulang sebahagian daripada keajaiban Winter Wonderland.