Teater Muzikal Paduka Cik Siti angkat kepimpinan wanita Melayu

TEATER Muzikal Paduka Cik Siti yang selesai dipentaskan di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Kompleks Perbadanan Putrajaya (PPj), Putrajaya mengangkat naratif kepimpinan wanita Melayu terkenal Kelantan, iaitu Cik Siti Wan Kembang.Pementasan yang berlangsung dari 19 hingga 21 Disember lalu itu merupakan terbitan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dengan kerjasama Persatuan Alumni ASWARA, sekali gus menggabungkan elemen warisan, pendidikan dan profesionalisme industri seni persembahan tempatan.ASWARA dalam kenyataannya berkata, teater muzikal berkenaan merupakan idea asal dan arahan Che Kem, dengan naskhah tulisan Roziah Adama dan Khairunazwan Rodzy, manakala lirik lagu dihasilkan oleh Dr Hairul Anuar Harun."Pementasan ini mengisahkan perjalanan Cik Siti Wan Kembang, satu-satunya waris takhta Tanah Serendah Sekebun Bunga yang memilih amanah pemerintahan mengatasi kepentingan peribadi. Menolak pinangan demi negeri, baginda diuji dengan persoalan kewibawaan oleh pembesar sendiri, ancaman kuasa luar serta konflik emosi yang terpendam."Kisah ini menampilkan potret seorang Raja Wanita yang memimpin dengan kebijaksanaan, keteguhan dan pengorbanan jiwa. Lebih daripada sekadar pementasan sejarah, Paduka Cik Siti menjadi refleksi tentang peranan wanita dalam kepimpinan, serta pengorbanan emosi yang tersembunyi di sebalik kuasa dan takhta."Naratif ini disampaikan melalui gabungan lakonan, muzik, tarian dan estetika visual yang menyeluruh," kata kenyataan berkenaan.Teater muzikal berkenaan dibarisi pelakon antaranya Asmidar, Taqim Zaki, Dr Norzizi Zulkifli, Shahrul Mizad, Nesa Idrus, Serra Kamal dan Zizi Hazirah, selain disokong oleh ramai penggiat seni berpengalaman.Sementara itu, pementasan Malam Gala tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot; Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob; Rektor ASWARA, Dr Tan Awang Besar dan ramai lagi.Kenyataan itu menambah, daripada sudut produksi, teater muzikal tersebut mencerminkan pendekatan pendidikan seni berasaskan amali apabila alumni, pensyarah dan pelajar ASWARA berganding bahu dalam setiap aspek pementasan.Pendekatan ini katanya, bukan sahaja memperkukuh kualiti produksi, malah membuka ruang pembelajaran langsung kepada bakat muda untuk memahami piawaian industri seni persembahan profesional."Pementasan ini sekali gus mengukuhkan peranan ASWARA sebagai institusi peneraju pembangunan seni dan warisan negara, dengan pendekatan yang menyatukan pendidikan, industri dan masyarakat melalui karya berskala besar yang berakar pada identiti budaya tempatan," katanya.