'Tiga tahun jadi Menteri Pendidikan, tiga tahun juga hadap anak SPM' - Fadhlina Sidek

"ALHAMDULILLAH thumma Alhamdulillah. Selesai sudah kertas terakhir SPM hari ini."Demikian luahan penuh emosi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, apabila anak perempuannya, Maryam Fadhilah Mohd Fadzli, menamatkan kertas terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi batch 08.Menemani anak ketiga pada saat akhir bergelar pelajar sekolah, Fadhlina dalam satu hantaran di media sosial berkongsi rasa lega dan syukur serta melihat perjuangan yang panjang dan menguji jiwa.Apatah lagi apabila beliau sendiri menyaksikan anak dan rakan pelajar melakukan sujud syukur usai peperiksaan, Fadhlina mengakui air mata tidak mampu dibendung."Mummy dan mak-mak tunggu di luar dewan dengan perasaan yang bercampur baur."Mengenang anak-anak yang selesai perjuangan mereka. Ketika selesai sahaja kertas-kertas dikutip oleh pengawas dan dewan dibuka untuk anak-anak keluar, kami emak-emak terus sebak," ungkapnya.Lebih menyentuh hati, kelihatan anak-anak sujud syukur, melaungkan takbir dan tahmid sebagai tanda tamatnya satu perjuangan besar dalam hidup mereka.Sebagai seorang ibu, Fadhlina sedar, pada saat itu anaknya hanya perlukan ruang, pelukan dan doa. Segala usaha dan pengorbanan diserahkan sepenuhnya kepada ALLAH SWT."Masya-ALLAH anak, I'm so proud of you baby girl. You slay."Alhamdulillah. Mummy pun menangis juga kerana mummy memang serahkan Maryam kepada ALLAH dan Rasul. Semoga ALLAH SWT mengasihi Maryam sepanjang peperiksaan berlangsung," kongsinya jujur.Mengimbas kembali perjalananya tiga tahun ini, dalam nada berseloroh namun sarat makna, Fadhlina mengakui tempoh tiga tahun kebelakangan ini bukan mudah."Mummy sign off dulu. Tiga tahun menjadi Menteri Pendidikan, tiga tahun jugalah menghadap anak-anak SPM. Pengsan. Dugaan betul."Selepas Maryam, mummy rehat lama sedikit. Seorang anak Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), mummy perlu perjuangkan banyak lagi manakala seorang lagi yang bongsu, masih jauh lagi perjalanan."Maknanya mummy boleh fokus yang kecil pula. Alhamdulillah. Selesai tugas mummy untuk SPM. Tuhan sahaja tahu betapa leganya mummy apabila Maryam habis kertas terakhir ini," ujar beliau lagi.Mengakhiri luahannya, Fadhlina menitipkan kata penuh kasih buat semua ibu yang sama-sama menunggu di luar dewan peperiksaan hari itu.Satu luahan yang membuktikan, di sebalik kejayaan anak-anak, berdirilah seorang ibu yang tidak pernah berhenti berdoa, mencinta dan berkorban."Kepada semua mak-mak yang bersama di dewan peperiksaan tadi, kita mak-mak memang slay," titip Fadhlina.Terdahulu pada November, Fadhlina berkongsi hantaran mengenai Maryam Fadhilah selesai menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran pada 2 Januari 2024 dan khatam dalam Majlis Khatam al-Quran sekolah November lalu.Terdahulu Menteri Pendidikan meraikan kejayaan anak sulung, Thurayya Fadhilah berjaya memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022.Manakala anak keduanya, Sarah, pula memperolehi 8A pada SPM 2024. - Sinarplus