SEPANG - Polis masih menyiasat motif kejadian seorang pemandu e-hailing wanita yang parah dikelar selepas diserang kenalan lelakinya dalam kejadian di Bandar Baru Salak Tinggi di sini pada Isnin.Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden Mior Mohd Nor Azuan Alias berkata, mangsa berusia 60 tahun itu masih menerima rawatan di Hospital Cyberjaya dan keadaannya dilaporkan stabil.Menurutnya, suspek iaitu lelaki berusia 69 tahun pula masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas terlibat kemalangan selepas menyerang mangsa."Punca kemalangan itu disiasat oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai kerana kejadian berlaku di sana (Nilai)."Siasatan awal kita mendapati suspek merupakan kenalan kepada mangsa, namun punca utama kejadian masih disiasat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.Tambahnya, proses permohonan reman belum dilaksanakan kerana suspek masih menerima rawatan dan pemantauan rapi di hospital.Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam, mangsa mengalami kecederaan serius pada leher selepas diserang suspek menggunakan senjata tajam.Suspek kemudian melarikan diri menggunakan kereta milik mangsa jenis Perodua Bezza sebelum terlibat kemalangan di Taman Desa Melati, Nilai, Negeri Sembilan.Suspek dijumpai dalam keadaan cedera pada leher dalam kereta selain penemuan senjata tajam jenis kerambit.Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.