Proses undang-undang kes Najib belum muktamad - UMNO Selangor

SHAH ALAM - UMNO Selangor mengingatkan bahawa proses perundangan berkaitan kes melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum mencapai penamat sepenuhnya, memandangkan bekas Perdana Menteri itu masih mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan melalui saluran sah yang diperuntukkan undang-undang.Menurut UMNO Selangor, sebarang kenyataan bersifat sindiran atau perayaan terhadap keputusan mahkamah ketika proses perundangan masih berjalan adalah tidak wajar."Isu yang menjadi perhatian rakyat ketika ini bukan sekadar membabitkan individu tertentu, sebaliknya turut melibatkan kewujudan dan pelaksanaan Titah Adendum yang telah dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, yang mempunyai kedudukan tersendiri dalam sistem Raja Berperlembagaan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.UMNO Selangor menegaskan, sekiranya proses rayuan kelak menghasilkan keputusan berbeza dan kedudukan Titah Adendum diperakui secara sah, kenyataan sinis yang dikeluarkan sebelum ini akan jelas memperlihatkan ketidaksensitifan serta kegagalan memahami prinsip keadilan dan Raja Berperlembagaan.Dalam hal ini, UMNO Selangor berpandangan tindakan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, bukan sahaja tidak beradab dari sudut politik, malah sensitif dari sudut perlembagaan, lebih-lebih lagi apabila ia dibuat oleh seorang wakil dalam Kerajaan Perpaduan.UMNO Selangor turut menegaskan bahawa tindakan Pemuda negeri itu menyerahkan memorandum yang menuntut permohonan maaf secara terbuka serta mendesak Bee Yin menurunkan hantaran berkenaan adalah wajar, berprinsip dan berpaksikan kepentingan institusi negara.Pada masa sama, UMNO Selangor menolak cubaan pihak tertentu termasuk DAPSY Selangor yang melabelkan tindakan itu sebagai gimik atau intimidasi, sebaliknya menegaskan bahawa penyerahan memorandum secara aman di hadapan pusat khidmat wakil rakyat merupakan amalan demokrasi yang sah, beradab dan berperlembagaan.UMNO Selangor turut menegaskan bahawa parti itu tidak pernah meraikan kekalahan mana-mana parti lawan, termasuk keputusan pilihan raya negeri di Sabah baru-baru ini, walaupun ia membabitkan kegagalan DAP memperoleh sebarang kerusi, sekali gus memperlihatkan perbezaan antara politik beradab dan politik ejekan."Kami menyeru pimpinan DAP di Selangor, khususnya Bee Yin, agar menghentikan politik sindiran dan provokasi, menurunkan hantaran berkenaan serta memohon maaf secara terbuka demi memulihkan keharmonian politik."UMNO Selangor akan terus mempertahankan adab politik, kedaulatan perlembagaan serta penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu dan tidak akan berdiam diri terhadap sebarang cubaan memperlekehkan prinsip berkenaan," tambah kenyataan itu.Sinar Harian pada Selasa melaporkan bahawa Pemuda UMNO Selangor menyerahkan memorandum bantahan di hadapan pejabat Bee Yin bagi mengecam kenyataan serta hantaran media sosial wakil rakyat itu yang didakwa bersifat biadab, sinis dan mencetuskan provokasi politik.Memorandum itu menyatakan bantahan keras terhadap kenyataan Bee Yin yang didakwa memperlekeh isu perundangan melibatkan Najib, selain mencemarkan keharmonian politik dalam Kerajaan Perpaduan.