KUANTAN – Seorang lelaki berusia 39 tahun nyaris maut selepas dipercayai terjatuh dari Jambatan Tanjung Lumpur ke dalam sungai dalam kejadian pada Rabu.Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.42 petang.Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan digerakkan ke lokasi dan tiba kira-kira 10 minit kemudian."Ketika pasukan bomba sampai, mangsa telah berada di dalam sungai dan diselamatkan oleh bot nelayan yang berada berhampiran lokasi kejadian."Mangsa kemudian dibawa ke tebing sungai dalam keadaan selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Mohd Salahuddin memaklumkan, rawatan awal diberikan oleh Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) JBPM."Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut," katanya.