KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggempur sindiket pusat panggilan judi dalam talian menerusi 21 serbuan ke atas premis dan menahan 85 individu di seluruh negara.Serbuan menerusi Op Dadu Mega itu dijalankan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSJ kontinjen negeri dari 20 hingga 23 Disember.Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, hasil pemeriksaan mendapati 20 premis dijadikan sebagai pusat panggilan (calling centre) bagi aktiviti perjudian dengan mengurus serta mempromosikan laman web perjudian yang menyasarkan pelanggan tempatan dan luar negara, antaranya Filipina, China dan Australia."Satu lagi premis yang diserbu dikesan dijadikan sebagai pusat panggilan bagi aktiviti penipuan pelaburan tidak wujud yang menyasarkan pelanggan tempatan."Daripada 85 individu yang ditahan, 62 lelaki dan 23 wanita disyaki berperanan sebagai operator serta ‘khidmat pelanggan’ dalam aktiviti perjudian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Tambahnya, kesemua yang ditahan terdiri daripada 47 warga tempatan dan 38 warga asing.Jelasnya, polis turut merampas peralatan komputer, tablet, telefon bimbit dan lain-lain barangan berkaitan."Kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan bagi proses dokumentasi dan siasatan lanjut di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.Mengulas statistik tahun ini sejak Januari, Kumar berkata, PDRM telah menyerbu 117 premis pusat panggilan perjudian dengan tangkapan seramai 713 individu.Tegasnya, operasi seumpama ini akan terus dipergiatkan bagi membanteras aktiviti perjudian tanpa lesen di seluruh negara dan orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membendung kegiatan terbabit.