SHAH ALAM - Tindakan merujuk kes rogol statutori kepada pihak penguatkuasaan agama Islam adalah tidak selaras dengan mandat undang-undang jenayah dan tatacara jenayah yang terletak di bawah Senarai Persekutuan.Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), amalan tersebut juga perlu dihentikan serta-merta memandangkan ia berisiko menjejaskan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.Suhakam dalam masa sama turut mengingatkan bahawa Malaysia sebagai Negara Pihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) wajib memastikan semua kanak-kanak dilindungi daripada eksploitasi dan penderaan seksual serta kepentingan terbaik golongan itu hendaklah menjadi pertimbangan utama dalam semua tindakan yang melibatkan mereka."Oleh itu, rogol statutori perlu ditangani sebagai suatu kesalahan jenayah serius terhadap kanak-kanak melalui proses yang sah di sisi undang-undang, sensitif terhadap kanak-kanak dan mematuhi prinsip hak asasi. Ia harus disiasat serta didakwa oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang jenayah yang terpakai."Sejajar dengan CRC, Suhakam menekankan bahawa tindak balas terhadap kes yang melibatkan kanak-kanak mestilah mengutamakan perlindungan, pemulihan dan intervensi sosial yang sesuai, bukannya pengenaan hukuman semata-mata."Kanak-kanak dalam sistem keadilan, termasuk dalam kes yang melibatkan hubungan rakan sebaya secara sukarela, tidak boleh dikenakan langkah-langkah yang mengabaikan status mereka sebagai pemegang hak di bawah CRC dan undang-undang domestik," kata suruhanjaya itu menerusi kenyataan pada Rabu.Ketua Polis Kelantan, Yusoff Mamat sebelum ini dilapor berkata, kanak-kanak perempuan berumur 16 tahun ke bawah yang ditangkap kerana melakukan hubungan seks secara suka sama suka akan dirujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) untuk tindakan lanjut di bawah mahkamah syariah.Menurutnya, langkah itu berkuat kuasa Oktober lalu susulan titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang meminta PDRM bekerjasama dengan Jaheaik bagi menangani isu berkenaan.Sementara itu, Suhakam dalam kenyataan sama turut menegaskan, pihaknya menghormati sepenuhnya kedudukan dan peranan undang-undang Islam serta institusi agama dalam kerangka perundangan dan sosial Malaysia.Bagaimanapun katanya, kebimbangan utama dalam perkara tersebut ialah kepentingan terbaik, perlindungan dan kebajikan kanak-kanak yang seharusnya kekal sebagai keutamaan dalam pengendalian semua kes melibatkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak."Suhakam juga bimbang bahawa kenyataan awam oleh seorang pegawai kanan polis boleh mencetuskan panik secara moral dan tindak balas reaksi yang tidak berasaskan kerangka perundangan Malaysia."Pendekatan yang hanya bergantung kepada hukuman mencerminkan kegagalan untuk mengiktiraf bahawa remaja merupakan kanak-kanak di sisi undang-undang, yang keupayaan mereka sedang berkembang, serta tahap kerentanan dan ketidakmatangan mereka perlu difahami selaras dengan semangat dan tujuan Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama obligasi Malaysia di bawah CRC," katanya.Suhakam dalam masa sama turut menekankan keperluan semakan dan pembaharuan rangka kerja keadilan jenayah Malaysia agar lebih mencerminkan realiti kehidupan kanak-kanak dan remaja dalam sistem keadilan yang kebanyakannya berhadapan dengan masalah sosioekonomi, keganasan dan pengabaian.Ini kerana, bukti secara konsisten menunjukkan langkah-langkah yang bersifat menghukum semata-mata bukan sahaja tidak berkesan dalam mencegah pengulangan atau peningkatan kes rogol statutori, malah berpotensi mengakibatkan kemudaratan lanjut terhadap kanak-kanak."Dalam hal ini, Suhakam menegaskan bahawa pembaharuan terhadap Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah adalah perlu bagi menggalakkan perubahan tingkah laku yang positif, memperkukuh perlindungan kanak-kanak dan menyokong pemulihan, selaras dengan prinsip perlembagaan dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa."Suhakam juga ingin menyatakan komitmen terhadap penglibatan secara konstruktif dan bersedia untuk bekerjasama dengan PDRM, agensi kerajaan yang berkaitan serta Parlimen dalam membangunkan pelan tindakan 2026 yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan, CRC dan pendekatan keadilan jenayah berasaskan hak asasi manusia," katanya.