Mangsa bertengkar dengan isteri sebelum jatuh jambatan - Polis

KUANTAN – Seorang lelaki dipercayai terjatuh dari Jambatan Tanjung Lumpur di sini pada petang Rabu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Pekan selepas bercuti di Cherating bersama isterinya.Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 2.39 petang apabila mangsa dipercayai meluahkan tekanan emosi kepada isterinya sehingga mencetuskan pertengkaran antara pasangan tersebut.Menurutnya, ketika berada di atas Jambatan Tanjung Lumpur, mangsa telah memberhentikan kenderaan sebelum berlaku satu insiden yang gagal dihalang oleh isterinya."Semasa kejadian, mangsa dan isterinya berada dalam perjalanan pulang ke rumah di Pekan selepas bercuti di Cherating."Mangsa dipercayai meluahkan tekanan emosi kepada isterinya sehingga berlaku pertengkaran sebelum mangsa memberhentikan kenderaan di atas jambatan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Ashari berkata, hasil temu bual lanjut dengan isteri mangsa mendapati lelaki itu mengalami masalah mental sejak hampir dua tahun lalu."Mangsa dikatakan gagal mendapatkan rawatan lanjut di hospital dan sering dilihat bercakap seorang diri," katanya.Beliau berkata, pasangan berkenaan telah berkahwin hampir 15 tahun dan dikurniakan lima orang anak.Menurutnya, mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh bot pemancing yang kebetulan berada di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin untuk tindakan lanjut."Mangsa mengalami kecederaan terseliuh di bahu kiri dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)," katanya.