Kemelut PN Perlis: Ahmad Fadhli dedah ada pihak hantar nama

PUTRAJAYA – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendedahkan terdapat pihak tertentu yang didakwa telah menyerahkan nama kepada Istana Perlis walaupun kedudukan mereka hanya sebagai parti minoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN).Pendedahan itu dibuat menerusi hantaran di Facebook pada Rabu, sekali gus mengesahkan terdapat pihak mengemukakan akuan bersumpah (Statutory Declaration, SD) yang telah dikemukakan kepada pihak Istana kerana menarik sokongan kepada Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.Dalam masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada Pakatan Harapan (PH) Perlis kerana menyatakan sokongan supaya kerajaan negeri sedia ada yang diterajui Pas terus memerintah sehingga tamat penggal, demi memastikan kestabilan pentadbiran."Terima kasih PH Perlis. Hairannya ada pihak yang serah nama walaupun minoriti," tulisnya tanpa menamakan pihak yang dimaksudkan.Terdahulu PH Perlis menyatakan sokongan terhadap ADUN Sanglang, Mohd Shukri untuk terus menerajui negeri itu sehingga tamat penggal.Kedudukan Mohd Shukri didakwa semakin tertekan apabila lapan ADUN dilaporkan tidak lagi menyokong kepimpinannya, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan politik di negeri itu.Menurut sumber, tindakan berkenaan dikatakan dibuat melalui SD yang telah dikemukakan kepada pihak Istana dan menimbulkan persoalan mengenai kestabilan kerajaan negeri Perlis ketika ini.Difahamkan, perkembangan tersebut berkait rapat dengan kemelut dalaman berpanjangan dalam Perikatan Nasional (PN) Perlis, termasuk isu hubungan antara Menteri Besar dan beberapa wakil rakyat dalam kalangan komponen parti kerajaan negeri.Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Mohd Shukri mahupun kepimpinan PN Perlis bagi mengesahkan atau menafikan dakwaan tersebut.